Tidak salah jika soalan itu ditanya bagi mengetahui perkembangan terbaru. Namun, jika soalan lebih mendalam ditanya, misalnya sebab mengapa tiada anak dan ‘sudah berapa lama kahwin’ atau ‘tidak pergi berubat ke’, mungkin pertemuan yang diharapkan meninggalkan memori manis menjadi sedikit kelat dek kata-kata kita yang kurang memikirkan perasaan atau sensitiviti orang lain.
Memang lumrah soalan berapa jumlah anak paling lazim dikemukakan oleh individu yang sudah lama terputus hubungan atau baru berkenalan.
Harus diingat, jika kita mengetahui keadaan seseorang, usah ditanya berulang kali kerana ia boleh jadi sesuatu yang menjengkelkan.
Tinjau selidik membabitkan 1,000 wanita di 10 negara Asia, termasuk Malaysia, mendedahkan wujud jurang pengetahuan yang ketara mengenai kesuburan, penyebab ketidaksuburan dan pilihan bagi mendapatkan rawatan kesuburan. Keadaan itu memburukkan lagi kemerosotan kadar kelahiran di negara ini.
Di Malaysia, tinjau selidik terhadap 52 peratus wanita yang mencuba lebih enam bulan untuk hamil mendapati, mereka tidak tahu lokasi pusat kesuburan paling hampir.
Kajian ‘Starting Families Asia’ dijalankan untuk Merck Serono, satu divisyen di Merck, Darmstadt, Jerman dengan kerjasama Bahagian Endokrinologi Reproduktif dan Ketidaksuburan, Pusat Wanita di National University Hospital (NUH), Singapura. Kajian Starting Families Asia itu yang terbesar sepertinya dan diluluskan Asia Pacific Initiative on Reproduction (Aspire).
Pengaruh lain yang menyebabkan mereka bersedia menjadi ibu bapa ialah tuntutan peribadi, kesihatan diri dan kesihatan suami. Mempunyai anak juga membuatkan ikatan suami isteri lebih selamat dan stabil.
Timbalan Dekan (Siswazah dan Hubungan Antarabangsa), Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Pakar Kesuburan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zainul Rashid Mohd Razi berkata, hasil kajian itu menunjukkan kemungkinan kekangan kepada bantuan yang patut dicari dan diterima oleh wanita dan pasangan apabila merancang keluarga, terutama yang sukar hamil.
Hasil kajian juga menunjukkan, penting memberi lebih banyak pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan usia dan masalah perubatan ke atas kesuburan, dan juga pilihan rawatan oleh pesakit yang mungkin mengalami masalah ketidaksuburan.
Menurutnya, secara umumnya, wanita percaya peluang untuk mereka hamil tinggi. Walaupun mereka merancang untuk hamil dalam tempoh enam bulan perkahwinan, 59 peratus responden tidak mengesyaki masalah kesuburan.
“Sebanyak 74 peratus wanita Malaysia tidak mengesyaki suami mereka ada masalah kesuburan. Sebanyak 37 peratus wanita dan 19 peratus lelaki pula menyedari mereka menghadapi masalah kesuburan selepas didiagnosis oleh pakar penjagaan kesihatan profesional.
“Ramai pasangan Malaysia masih dalam kegelapan dan tidak mendapatkan bantuan atau rawatan untuk meningkatkan peluang untuk hamil, manakala selebihnya secara amnya optimistik,” katanya.
Ketua Francais Perniagaan Serantau - Asia Pasifik, Kesuburan dan Endokrinologi Merck Serono, Mo Yassin berkata, kadar kesuburan di negara Asia antara paling rendah di dunia dan kadar kelahiran yang merosot sangat membimbangkan.
Katanya, Merck Serono mengarahkan kajian Starting Families Asia untuk mendapatkan kefahaman lebih baik mengenai pertimbangan wanita apabila membuat keputusan untuk mempunyai anak.
“Kami harap kefahaman diperoleh daripada kajian ini, yang memperlihatkan jurang pengetahuan mengenai kesuburan yang perlu ditangani, akan membantu usaha pakar penjagaan kesihatan profesional dan pembuat dasar untuk menangani cabaran akut ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: