|
KESUKARAN untuk mendapatkan busana istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu mencetus idea kepada pemilik jenama AzuraAzwa, Azura Liyana Azmi, 28, dan Azwa Elena Azmi, 25, untuk menjahit sendiri baju lebaran.
“Semuanya bermula ketika kami berada di United Kingdom (UK) untuk melanjutkan pelajaran,” ujar Azura memulakan bicara.
Tidak mahu menyusahkan kedua-dua ibu bapa untuk mengirimkan baju-baju dari Malaysia, kedua-duanya sepakat mahu mereka dan menjahit baju tersebut dengan sedikit olahan yang lebih kontemporari.
Ghairah mereka bertambah usai mendapat perhatian pelajar antarabangsa yang lain. Akhirnya daripada sekadar suka-duka, dua beradik itu mula mengorak langkah untuk menceburi bidang rekaan kreatif secara sambilan.
“Kawan-kawan di UK sangat teruja dengan jahitan manik sarat yang terdapat pada baju dan aksesori yang kami reka. Malah, ada yang turut menempah busana dan aksesori hingga tercetusnya idea untuk mengembangkan perniagaan kami sekembalinya ke tanah air kelak,” tambah Azwa yang menuntut dalam bidang Sistem Informasi Perniagaan di Middlesex University, London.
Azura, graduan Jurusan Rekaan Dalaman, Nottingham Trent University, bahkan turut mengambil jurusan jangka pendek di Central St. Martins, University of the Arts London bagi mendalami industri fesyen secara formal.
Signatur turban
“Sekembalinya saya ke tanah air, turban menjadi sandaran utama dalam memperkenalkan jenama AzuraAzwa kepada penggemar fesyen tempatan,” jelas Azura.
Tambahnya, gaya turban tercetus apabila dia mula berjinak-jinak untuk tampil lebih muslimah. Tercari-cari imej yang lebih urban dan bergaya, turban dengan padanan busana moden dipilih bagi menampilkan pesona diri.
“Namun kebanyakan turban yang ada kadangkala merimaskan kerana lilitan yang tidak kemas. Lanjutan daripada itu, saya jahit lilitan turban yang dimahukan dan hanya serkup sahaja ketika menggayakannya,” jelas gadis kelahiran Terengganu itu.
Ternyata, fesyen turban mula mendapat perhatian ramai sehingga boleh digayakan untuk pelbagai acara dan busana. Ia kini menjadi trend baharu kepada golongan remaja urban.
Tidak terhad kepada penggayaan wanita dengan imej muslimah, turban AzuraAzwa juga boleh digunakan oleh sesiapa sahaja kerana bentuk yang versatil dan boleh diolah pelbagai gaya.
|
|
Kelainan yang dikatakan terletak pada kombinasi dua gaya berbeza yang mewakili dua pereka tersebut.
“Rekaan AzuraAzwa terdiri daripada rangkuman gaya peribadi saya dan Azwa yang sangat kontra.
“Saya lebih feminin dengan penataan rona-rona pastel dan gaya yang lebih selamat, manakala Azwa pula suka menumpukan konsep yang lebih berani dengan mainan warna-warna garang serta fabrik yang di luar kebiasaan,” jelas Azura.
Oleh kerana itu, tambahnya, pengguna akan mengetahui rekaan busana tersebut berdasarkan konsep peribadi Azura atau Azwa.
Terjun ke bidang yang berbeza dengan jurusan yang diikuti tidak membuatkan kedua-dua adik-beradik itu canggung, namun sedia bertatih bermula daripada awal.
“Ayah dan ibu sentiasa memberikan dorongan yang berterusan walau ada sedikit keraguan pada awalnya. Atas kesungguhan dan percaya pada takdir, kami terus mengorak langkah sehingga kini.
“Malah, ibu turut mengambil peranan sebagai pengurus bagi mengawal selia perjalanan perniagaan agar lebih lancar,” bicara Azwa.
Butik yang dibuka kini juga merupakan pemberian daripada ibu dan ayah. Terletak di kawasan perumahan sekitar Damansara, Selangor rumah dua tingkat itu diubah dekorasinya menjadi rumah fesyen yang menempatkan bilik pameran dan ruang jahitan.
Lebih menarik, butik tersebut dihias indah oleh Azura sendiri yang pada masa sama turut membuat projek hiasan dalaman secara sambilan.
Koleksi busana
Melangkah lebih jauh dalam bidang fesyen, AzuraAzwa mencipta keghairahan dengan menghasilkan koleksi busana bagi penggemar jenama tersebut.
Koleksi ulung tersebut dikeluarkan sempena perayaan Aidilfitri yang lepas dengan memperkenalkan rekaan yang lebih kontemporari dan penggunaan corak fabrik berani.
Menariknya koleksi raya tersebut dilatari penggunaan corak kulit harimau yang membuatkan si pemakai tampak berbeza, namun masih mengekalkan ciri-ciri menawan dengan potongan yang feminin.
|
|
“Kami tidak menyangka apabila percubaan pertama tersebut mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan malah stok pakaian telah habis. Sehingga kini, kami masih lagi menerima tempahan bagi koleksi tersebut,” ujar Azura.
Bagi meneruskan momentum perniagaan AzuraAzwa, jenama tersebut akan hadir dengan koleksi terbaharu yang didedikasikan khas buat ibu tercinta pereka.
“Setiap busana tersebut menggambarkan gaya peribadi ibu kami yang sentiasa tampil anggun dengan gaya yang mempesona,” ujar Azwa.
Penggemar boleh menjangka rekaan yang lebih sederhana dengan menumpukan kepada ciptaan busana muslimah.
“Dalam koleksi tersebut, akan ada 20 pasang busana baharu bersama lima turban,” jelas Azwa.
Tambah Azura, koleksi yang dijangka menemui penggemar fesyen pada Disember tahun ini, banyak menggunakan fabrik seperti sutera Itali, Swiss Zurich dan Shantung.
Bakal bertukar lokasi butik yang lebih besar tidak lama lagi, koleksi AzuraAzwa juga boleh dilihat melalui laman web www.azuraazwa.com
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: