Monday, December 3, 2012

Semangat luar biasa pelajar SDH

KEAKRABAN Norashikin (kiri) sebagai guru dan Adam dapat dilihat pada sesi pembelajaran yang dijalankan di wad pediatrik Hospital Serdang ini.


MENJADI Tan Hong Sheng, 10, tidak mudah. Saat kanak-kanak lain berseronok bersama rakan-rakan di sekolah, dia hanya bertemankan topeng oksigen yang perlu dipakai 24 jam dan berbumbungkan hospital.
Sejak disahkan menghidap jangkitan paru-paru selepas beberapa bulan dilahirkan, Hong Sheng kerap keluar masuk hospital. Namun, sejak bulan Jun tahun lalu, Hospital Serdang, Selangor menjadi kediaman tetapnya sehingga kini.
Siapa sahaja pasti tersentuh melihat keadaan anak kecil yang berasal dari Selayang, Selangor itu. Tambah meruntun perasaan, dia tidak gemar dipanggil Hong Sheng malah mahu orang sekeliling menggelarnya Adam. Di kepala katilnya tertera nama 'Melayu'nya, Adam Mohd. Hashim.
"Saya lagi suka duduk hospital sebab cikgu selalu datang mengajar saya di wad. Papa juga selalu datang dengan kakak dan nenek. Hujung minggu pula saya suka melayari internet dan menonton televisyen," kepetahan Adam berbual membuatkan individu di sekelilingnya kagum dengan semangat berjuang melawan sakit yang dialaminya.
Selama menjadi penghuni hospital tersebut untuk tempoh setahun setengah, Adam tidak pernah tercicir dalam pelajaran. Pada awalnya, guru yang sering mengajarnya, Siti Norashikin Mohamed Said, 47, mengakui kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk memahami apa yang diajar.
"Peringkat awal, asas matematik seperti darab dan bahagi pun Adam tidak boleh buat. Kini, prestasinya selari dengan pelajar darjah empat di sekolah biasa. Mengajar Adam tidak sukar kerana dia sentiasa bersemangat.
"Kadang-kadang kalau kita bercuti atau ada urusan, dia akan telefon bertanya kenapa tidak datang. Waktu mengajar pula dia akan fokus untuk setengah jam sahaja, lepas itu bagi dia waktu sekejap untuk bermain atau berehat. Kemudian, saya sambung semula hingga cukup dua jam," jelas Norashikin yang datang ke wad Adam hampir setiap hari yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab guru Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Bagi Wan Nur Anis Aina, 12, pelajaran yang dikutip selama berada di SDH Hospital Kuala Lumpur (HKL) amat berharga. Meskipun disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Anis mengejar cita-citanya bergelar doktor pakar.
Selepas menjalani pembedahan pada bulan Januari lalu, Anis berulang-alik bersama ibu bapanya dari Segamat, Johor ke HKL setiap tiga minggu bagi menjalani rawatan kemoterapi. Sebanyak 14 sesi kemoterapi perlu dijalani Anis dan diikuti rawatan susulan.
Ulang kaji pelajaran
"Tahun lepas saya tidak bersekolah selama setahun dan banyak mendapat bimbingan guru-guru SDH di HKL dan mengulangkaji pelajaran di rumah. Memang rindu untuk ke sekolah dan belajar bersama kawan-kawan tetapi saya mudah terkena jangkitan kalau keluar rumah.

ANIS (kiri) dibantu Aswaniza menyiapkan latihan yang diberikan guru di Hospital Kuala Lumpur.


"Namun, saya berkeras untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah pada bulan September lepas kerana ingin merasai suasana seperti pelajar biasa walaupun diasingkan daripada kawan-kawan," kongsi Anis yang pernah mengimpikan untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut ekoran sakit yang dihidapi.
Ibu Anis, Siti Noor Mohd. Zaid, 44, memberitahu dia dan suami, Wan Abdullah Wan Mohd. Noor, 40, tidak berfikir panjang untuk meletakkan anak mereka di bawah penyeliaan SDH. Kata Siti: "Sekurang-kurangnya waktu Anis terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan tidak ketinggalan pelajaran.
"Pada awalnya memang dia agak perlahan untuk menerima sesi pembelajaran yang dijalankan di wad tetapi lama-kelamaan, dia dapat menyesuaikan diri dan mampu menyiapkan latihan-latihan yang diberikan guru dengan cekap."
Sementara itu, bergelar pendidik SDH, seseorang itu perlu memiliki pengalaman sebagai guru sekurang-kurangnya empat tahun. Mereka yang memohon kemudiannya dipanggil bagi menjalani sesi orientasi di wad bagi melihat sendiri suasana yang bakal ditempuhi.
Tiada paksaan
Cabaran utama sudah tentu terletak pada cara guru SDH mendekati pesakit. Aswaniza Shamsudin, yang mula berkhidmat di SDH HKL sejak ia dibuka menyatakan, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah penguasaan sesi hati ke hati antara guru dan pelajar.
"Tiada paksaan belajar di SDH kerana semuanya memerlukan kebenaran ibu bapa dan kesediaan pesakit untuk belajar. Apabila mereka disahkan doktor cukup kuat untuk menerima pelajaran, guru-guru perlu bijak membentuk minat mereka dan mengawal emosi agar suasana pembelajaran dapat dijalankan secara tenang.
"Saya masih ingat waktu mula-mula mengajar di SDH HKL, saya diarahkan mengajar dua beradik yang menjadi mangsa simbahan asid. Disebabkan itu, saya perlu ke unit kebakaran dan memakai pakaian khas yang disediakan bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

GURU-GURU di SDH perlu menguasai emosi, mengenal pasti penyakit setiap pesakit dan cara-cara mendekati mereka agar proses pembelajaran berjalan lancar.


"Bayangkan, selalunya di sekolah saya tengok pelajar yang lengkap fizikalnya, tetapi mereka dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Kali pertama berdepan dengan mereka, saya terpaksa keluar bilik tersebut dan menangis kerana tidak sanggup melihat kesakitan yang mereka alami.
"Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk menguasai emosi supaya dapat menjalankan tanggungjawab seperti biasa. Begitu juga dengan situasi apabila ada dalam kalangan pelajar kami yang meninggal dunia.
"Kes kematian seorang pelajar perempuan akibat kanser masih berbekas dalam ingatan saya. Semua guru SDH tidak dapat melupakan wajahnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman sehingga kami semua tidak tahu bagaimana dia menanggung kesakitan tersebut," terpapar kesedihan pada wajah Aswaniza saat menceritakan pengalaman tersebut.
Sharifah Haslina Syed Abd. Hamid, 33, pula menjelaskan, pendekatan menerusi alat bantuan mengajar seperti komputer, televisyen dan buku cerita menjadikan sesi pengajaran lebih seronok dan mencabar kreativiti guru.
"Memujuk pelajar di hospital untuk belajar memerlukan kesabaran tinggi. Namun, secara jujurnya, saya akui semangat pelajar-pelajar SDH lebih tinggi berbanding pelajar di sekolah biasa.
"Cabaran yang dilalui guru SDH memang perit tetapi selepas seminggu berkhidmat, saya mula menghargai kehidupan dan melihat segala perkara di sekeliling sebagai satu kitaran perjalanan yang indah," luah Haslina yang mengajar bahasa Inggeris di SDH HKL

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: