Itulah rintihan ibu kepada, Nur Azira Atiqah Ahmad Darus, 15, yang dilaporkan hilang sejak 31 Oktober lalu.
Zaimah Muda, 35, berkata, anak sulungnya dari empat beradik yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Mersing itu telah keluar rumah kira-kira jam 6.45 pagi pada hari tersebut untuk ke sekolah.
“Semasa kejadian anak saya memakai kemeja-T berwarna biru, berseluar sukan dan bertudung hitam serta membawa beg sandang.
“Selepas tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), dia pergi ke sekolah seperti biasa untuk menyertai aktiviti yang diadakan di sana,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pada hari kebiasaannya, Atiqah akan tiba di rumah setiap jam 2.30 petang, tapi pada hari itu sehingga jam 4 petang dia masih belum pulang menyebabkan mereka sekeluarga berasa bimbang.
“Kami berasa risau selepas dimaklumkan gurunya bahawa dia tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut, lalu membuat keputusan untuk mencari Atiqah di rumah kenalan terdekatnya.
“Selepas usaha mencari menemui jalan buntu, kami buat laporan polis sehari selepas kehilangan anak saya pada 1 November lalu,” katanya.
Zaimah berkata, keluarga ada cuba menghubungi telefon bimbit milik Atiqah, namun setelah sebulan dilaporkan hilang, anaknya itu terus tidak dapat dikesan tanpa sebarang berita.
“Pelbagai usaha telah kami lakukan untuk menjejakinya termasuk menggunakan perkhidmatan kaedah perubatan Islam dan solat hajat, tetapi sehingga kini dia masih gagal ditemui,” katanya.
Menurut Zaimah, perhubungan antara Atiqah dan keluarga berada dalam keadaan baik dan tidak pernah mempunyai sebarang masalah mahupun krisis di antara mereka.
“Sepanjang pengetahuan saya, dia tidak mempunyai teman lelaki, tetapi tidak pasti jika di belakang kami, dia ada menjalinkan hubungan,” katanya.
Justeru, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau terserempak dengan Atiqah untuk segera memaklumkannya di alamat No 9-5, Jalan Awang Daik, Kampung Tanjung, Mersing atau hubungi talian 017-7830708 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Toff Maaroff berkata, siasatan lanjut telah dijalankan dengan mengambil kira beberapa aspek.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan sehingga mendapat petunjuk sebenar mengenai kes ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: