Terbaru, penyanyi kelahiran Permas Jaya, Johor Bahru yang juga pemilik nama sebenar, Nor Ashima Ramli, 21, tersenarai pada pencalonan awal, Artis Baru Wanita Popular, ABPBH 2012 bersama barisan 21 artis baru lain.
Bukan sekadar mempertaruhkan vokal yang mantap, Baby Shima yang digilap bakatnya sejak di bangku sekolah sering memenangi pelbagai pertandingan nyanyian di serata Johor juga memiliki pakej lengkap untuk bergelar penyanyi.
Namun, Baby Shima mengakui gelaran yang pernah dimenangi itu bukan tiket untuknya berada dalam zon selesa.
“Saya percaya kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya ia perlu disusuli usaha dan kerja keras tanpa kenal erti jemu. Demi mengejar cita-cita, saya sanggup berjauhan dari keluarga di Johor Bahru untuk belajar erti berdikari.
“Bukan mudah untuk saya lakukan semua itu kerana tidak pernah berpisah dengan keluarga. Pada mulanya, keluarga berat hati untuk melepaskan saya pergi tetapi akhirnya mereka terpaksa mengalah dan merestui minat saya yang cukup mendalam dalam bidang seni.
“Apa yang penting, saya menjaga nama baik keluarga yang beri kepercayaan pada saya untuk mencuba nasib dalam bidang seni,” katanya.
Bakat besar Baby Shima turut membuka mata syarikat rakaman terkenal, KRU Music untuk melamarnya bernaung di bawah payung mereka. Bagaimanapun, karier seninya diuruskan syarikat milik penyanyi terkenal Adam AF, AiCO Empire Group. Apapun, Baby Shima berkata, dia tidak berasa dirinya sudah popular.
“Saya tidak berasa diri sudah popular pun kerana ramai orang masih tak kenal saya. Tapi saya tak kisah semua itu kerana usia masih muda dan perjalanan pun masih jauh lagi. Soal populariti jatuh nombor dua kerana yang penting saya perlu membuktikan kemampuan diri dulu,” katanya.
Ditanya sama ada dia bercadang untuk menukar namanya, Baby Shima berkata, setakat ini, belum ada ura-ura ke arah itu.
“Nama Baby Shima diberikan pihak KRU sendiri dan saya juga selesa dengan nama berkenaan,” katanya.
Menyentuh mengenai single, Baby Shima akui dia akur kerana terpaksa menunggu dua tahun untuk menanti bingkisan lagu terbarunya berjudul Tak Sabar yang juga sentuhan komposer terkenal Edry Abdul Halim.
“KRU memiliki ramai artis yang bernaung di bawahnya dan sebagai artis baru saya perlu sabar menanti giliran. Pada masa sama, saya tidak mahu lagu yang tangkap muat kerana sebagai artis, saya perlu muncul dengan lagu yang berkualiti dan menepati cita rasa peminat di luar sana,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: