
NASSIER WAHAB keluar dengan album bertajuk Cinta Farhat, Air Mata dan Doa.
SUDAH agak lama industri hiburan tanah air tidak mendengar sebarang berita daripada penyanyi era 1980-an, Nassier Wahab.
Ada yang mendakwa penyanyi yang popular dengan Memori Cinta Luka itu merajuk dengan industri. Namun baru-baru ini, penyanyi kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah itu menyangkal desas-desus sesetengah pihak yang mendakwa dia merajuk akibat kemunculan artis baharu yang tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
"Tiada istilah merajuk dalam kamus hidup kerana industri hiburan sudah sebati dalam darah daging saya.
"Cuma beberapa bulan yang lalu, saya agak sibuk dengan pembikinan album terbaharu saya yang berjudul Cinta Farhat, Air Mata dan Doa," katanya ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini. Album kesembilan Nassier yang memuatkan sebanyak 10 buah lagu baharu dan enam lagu hits itu khabarnya telah berada di pasaran sejak awal September lalu.
"Konsep album baharu ini sama sahaja seperti album-album sebelum ini, cuma kali ini lagu-lagu yang dipertaruhkan agak rancak dan ada yang berkonsepkan ketuhanan seperti Airmata dan Doa.
"Selain itu, saya turut terlibat dalam penghasilan lagu untuk album ini iaitu Selamat Datang Cinta dan Jangan Pernah Ada Benci," katanya.
Persaingan
Walaupun terpaksa bersaing dengan ramai artis baharu, Nassier yang sudah 27 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air tetap yakin bahawa peminatnya masih ada.
"Pada saya tidak ada beza yang lama dan yang baharu sebab semua orang sama sahaja. Itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing.
"Sebagai artis senior, saya tidak menganggap mereka sebagai pesaing kerana industri hiburan kita ini memerlukan pelapis-pelapis yang berbakat seperti mereka," katanya.
Menurutnya, ramai yang tidak tahan dengan jatuh bangun industri hiburan, justeru tidak hairan jika dilihat ramai yang beralih arah kepada bidang lain apabila kerjaya mereka di dalam industri meniti zaman suram.
"Saya akui saya pernah lalui zaman suram saya pada tahun 1993 tetapi disebabkan jiwa saya dalam bidang ini, saya kuatkan semangat sehinggalah masih di sini di saat ini," katanya.
Rahsia awet muda
Sekali pandang ramai yang tidak menjangka umur Nassier sebenarnya sudah menjangkau angka 50-an.
Menurutnya, dia mengamalkan rejim diet yang sihat. Selain daripada mengawal pemakanan harian, dia turut melakukan senaman ringkas seperti berjogging dan berbasikal bagi mengekalkan staminanya.
"Saya begitu teliti dalam pemilihan beras dan saya hanya makan beras kurang kanji.
"Itu untuk tengah hari sahaja dan malam pula saya hanya akan makan buah-buahan atau sup," katanya yang mengakui mengambil makanan tambahan.
Seperti kebanyakan orang lain, Nassier mengakui dia mengamalkan makan sebelum pukul 8 malam untuk mengekalkan berat badan yang ideal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: