Monday, December 17, 2012

Pesona pereka busana lelaki



KETIADAAN acara Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) yang diadakan saban tahun tidak memadam gemerlapan dunia fesyen tempatan untuk terus memperjuangkan perjalanan seni pereka Malaysia.
Sudah menjadi adat setiap acara, di sebalik kegemilangan pasti terselit sedikit kelemahan. Namun, kesungguhan dan dedikasi setiap pereka yang berkampung di Menara Matrade, Kuala Lumpur sempena pertunjukan fesyen Passion for Fashion kelolaan Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) pada 27 hingga 29 November lalu harus diberi pujian.
Sedikit mengecewakan adalah rekaan-rekaan busana wanita yang terlalu eksentrik. Rata-rata pereka terlalu mengutamakan kreativiti sehingga mengabaikan matlamat sebenar sehelai pakaian, yang boleh dijual dan disarungkan wanita tanpa rasa ragu-ragu. Pemilihan fabrik dan potongan juga terlalu klise dan paling ketara adalah mainan warna yang kurang menangkap pandangan tetamu jemputan.
Dari satu sudut lain, tumpuan sebaliknya dipusatkan pada kebangkitan rekaan persalinan lelaki. Risiko yang diambil pencipta pakaian pada acara itu membuktikan bahawa negara ini tidak ketandusan pereka busana jejaka.
Kesukaran mencari gaya tersendiri seterusnya mencetuskan idea buat pereka baharu, Waridi Hamdan untuk mencipta rekaan yang seiring penampilan peribadi sang arjuna.
“Memang tidak dapat dinafikan, pasaran fesyen lelaki di Malaysia tidak sebesar golongan wanita. Disebabkan itu, saya mendapat ilham untuk mengembangkan ruang gaya lelaki agar lebih kontemporari,” ujar Waridi.
Langkah berani

Rizal berpendapat gaya militari mudah menonjolkan ciri maskulin sang jejaka.


Percubaan julung kali Waridi itu masih boleh dibanggakan. Pada pertunjukan fesyen tersebut, dia mempamerkan tiga koleksi sut dan tiga lagi persalinan kasual khas buat kaum Adam. Suntikan warna-warna lembut melatari koleksi Waridi yang merangkumi pilihan rona ungu muda, merah jambu dan magenta.
“Saya banyak menggunakan material kapas, satin, sifon dan baldu kerana ia lebih sesuai dengan suhu badan lelaki,” ujarnya.
Waridi yang sebelum ini memegang portfolio sebagai jurugaya bebas untuk beberapa iklan, filem dan drama tempatan berpendapat fesyen jejaka tidak perlu berlebihan kerana mereka harus mengekalkan aura maskulin.
“Walaupun trend semasa banyak menonjolkan pemilihan rona-rona kontra, namun tidak semua lelaki kelihatan menarik dengan gaya tersebut,” tambah Waridi yang ketika ini menerima tempahan menerusi laman Facebooknya, WH Waridi Hamdan.
Gaya militari
Mempunyai pendapat yang sama, pereka busana lelaki, Rizal Latif berkata, gaya seorang lelaki bergantung kepada keadaan dan masa yang turut merangkumi beberapa faktor utama. Ia termasuklah warna, potongan, usia, warna kulit dan bentuk badan.
“Sayangnya mentaliti kebanyakan lelaki di negara kita masih belum terbuka dalam soal penjagaan keterampilan diri,” ujarnya.
Rizal menambah, kurangnya pereka busana lelaki turut menyumbang kepada kebergantungan pembeli kepada jenama antarabangsa yang sedia ada.
“Kos yang tinggi menyebabkan ramai pereka kurang mengeluarkan baju sedia pakai. Pelbagai perkara harus difikirkan oleh pereka termasuklah dari segi pembuatan, stok penjualan dan pemasaran yang meluas,” ujarnya.
Membawakan konsep Men in Taste of Soldier Style, Rizal cuba menonjolkan sisi maskulin melalui gaya ala askar pada pertunjukan fesyen BDA yang lepas.
“Saya memberi penekanan melalui penggunaan lima fabrik yang bersesuaian dengan imej peribadi jejaka seperti sutera kapas lembut, kain kapas Sea Island dan kapas Mesir, kain bulu putih Itali dan suave korduroi,” ujarnya.

Karl Shafek dalam persalinan musim bunga/panas 2013 Fairuz Ramdan.


Fairuz curi perhatian
Pereka yang sinonim dengan koleksi lelaki tempatan, Fairuz Ramdan mencuri perhatian paling besar pada malam gala pertunjukan fesyen tersebut. Kesemua lapan rekaan Fairuz malam itu berjaya membentuk signatur Fairuz dalam konteks penghasilan persalinan lelaki di Malaysia.
Berada dalam kelas tersendiri, Fairuz mempertaruhkan paduan koleksi musim luruh/sejuk 2012 bersama musim bunga/panas 2013.
Membariskan pengacara dan pelakon popular, Karl Shafek dan penyanyi dan bekas peserta rancangan One In A Million (OIAM), Iz, slot Fairuz gamat saat kedua-dua figura itu melangkah penuh yakin dalam persalinan berani.
“Koleksi musim luruh/sejuk lepas dapat dilihat pada sut korduroi ungu dan persalinan yang banyak menggunakan kain tenun.
“Rekaan musim bunga/panas 2013 saya pula menawarkan warna-warna terang bersama fabrik bercetak. Material pula sarat dengan kashmir, kain bulu campur dan kapas korduroi. Saya menggunakan potongan vintaj Itali dan diberi sedikit sentuhan Inggeris.
“Pada pementasan tempoh hari, koleksi FR Bespoke saya diberi suntikan avant-garde dan elemen mewah. Ia bukan bertujuan mencipta gaya eksklusif malah lebih kepada membentuk elemen couture,” jelas Fairuz.
Berpandukan inspirasi yang diperoleh ketika melalui zaman kanak-kanak di Scotland, Fairuz tampil berani dengan rekaan kilt yang diubah suai menjadi sehelai item sofistikated yang menguji kejantanan sang arjuna.
Mega Mendung Fiziwoo
Menyorot pandangan pada busana wanita, pujian harus diberikan kepada penerima Anugerah BDA Most Promising Designer yang diumumkan pada malam gala acara tersebut, Mohd. Hafizi Radzi Woo bersama gandingannya, Izree Kai Haffiz atau lebih sebati dengan nama Fiziwoo.
Ketujuh-tujuh rekaan Fiziwoo pada malam itu adalah himpunan koleksi musim bunga/panas 2013 yang bakal dibuka untuk tempahan menjelang Januari depan. Kasual menjadi penampilan asas rekaannya kali ini dan paling penting, ia praktikal untuk dijual dan dipakai orang ramai.

TAMPIL berani dengan sut merah jambu Waridi.


“Saya tidak menekankan apa-apa konsep dan banyak fokuskan kepada dres pendek, sut dan seluar. Istimewanya, saya cuba menjadikan ia gaya mewah (high end) menerusi pembentukan seluar bell bottom, baju berpanel dan dres dengan perincian stad logam. Ia agak maskulin tetapi masih feminin dari segi penggunaan warna dan potongan.
“Mega Mendung menjadi pusat rekaan saya kali ini. Sudah terlalu lama rasanya kita melupakan kehebatan Mega Mendung dan saya cuba mengembalikan kegemilangannya dengan penggunaan warna ungu gelap dan putih.
“Tiada teknik blok warna digunakan agar rekaan tidak kelihatan terlalu ‘menjerit’ dan keterlaluan. Paling penting, saya masih mengekalkan kekemasan dalam setiap rekaan saya,” ujar Fiziwoo yang cukup bersyukur dengan kejayaan yang diraih sepanjang tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: