|
SAMA ada pokok Krismas yang dihias cantik meninggi, patung Santa dan rusa bertanduk serta loceng-loceng berwarna-warni, ia menjadi sebahagian daripada perhiasan wajib kala sambutan perayaan tersebut.
Cuba mengambil pendekatan unik, pusat beli-belah 1 Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan perhiasan yang penuh menyelerakan.
Bermula 30 November yang lalu hingga 25 Disember 2012, iaitu pada Hari Natal, aras LG Oval telah diubah suai menjadi dunia pastri dan orang salji dengan pelbagai hiasan bermotifkan pencuci mulut seperti kek cawan, mufin, roti, donut, kek bertingkat, roti halia dan patung orang salji serta gula-gula.
Bertema Snowmen & Friends in Pastryland, persekitaran ruang itu amat mengujakan pengunjung lebih-lebih lagi dengan pembukaan gerai-gerai kecil yang menjual dan mempamer makanan, coklat serta produk sambutan Natal.
Terang dan penuh unsur magis, kilauan lampu kelip-kelip di sekitar ruang juga menambah nilai kepada hiasan yang mengagumkan setiap pelanggan dan pengunjung yang hadir ke pusat beli-belah itu.
Bagi mereka yang gemar mengambil gambar dengan kamera, itu adalah peluang untuk berbuat demikian memandangkan hiasan orang salji, beruang kutub dan binaan daripada gula-gula jarang sekali dapat dilihat.
Ia juga peluang kepada pelanggan untuk membeli produk terpilih di gerai sekitar yang menawarkan harga dan pilihan istimewa sempena Hari Natal.
“Antara produk jualan yang boleh didapati ialah Kiehl’s, Marks & Spencer, Tangs, The Body Shop, Jetb Art, Shins, Bausch K dan Famous Amos.
“Tidak ketinggalan, jenama seperti Toy World, Nici, Lovely Lace, Stick House, Presents4Them, S&J, L'Occitane, Cold Storage, Amore dan Windancer turut memeriahkan sambutan ini,” ujar Pengurus Pengiklanan dan Promosi, Patrik So.
Di samping membeli-belah, pihak pengurusan 1Utama tidak ketinggalan dalam menyediakan pelbagai aktiviti dan persembahan untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Natal. Antaranya ialah persembahan tarian oleh Okestra Clap & Tap Children, karol oleh Kristus Aman Chapel, nyanyian lagu-lagu Natal oleh Koir Kebangsaan Malaysia, persembahan Brass Quintet dan persembahan band The String Breakers.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: