Monday, December 17, 2012

Norziati bukan penulis biasa


NORZIATI (dua dari kanan) diumumkan sebagai pemenang utama bagi kategori puisi pada majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011.


NORZIATI MOHD. ROSMAN, 34, merupakan seorang penulis cerpen, novel dan puisi. Keinginan menulis menurutnya hadir daripada kegemaran membaca.
“Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan bahan bacaan, tetapi sangat terhad oleh kerana kekangan kewangan. Disebabkan itu, saya berusaha mendapatkan buku dengan meminjam dari perpustakaan sekolah atau perpustakaan desa,” kata beliau mengimbas kenangan zaman remaja di Felda Raja Alias 2, Negeri Sembilan.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) itu mengakui, pengalaman tinggal berjauhan daripada keluarga melatih beliau mencatat pelbagai pengalaman. Ia secara tidak langsung, menajamkan kemahiran menulis.
Menyedari kemahirannya, Norziati menyertai beberapa bengkel penulisan, berguru dengan penulis tersohor seperti Faisal Tehrani yang akhirnya membuka mata bagaimana sesuatu penulisan itu dilahirkan, dikembangkan dan seterusnya menjadi sebuah karya yang sempurna.
Pada masa yang sama juga, beliau menyahut cabaran untuk menyiapkan sebuah novel, Meniti Jalan Hadapan yang dihantar ke sayembara Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2008. Beliau berjaya memenangi tempat ketiga untuk karya itu.
“Ini merupakan satu kebanggaan buat diri saya yang masih bertatih dalam bidang penulisan, malah turut mengejutkan guru saya itu yang tidak menyangka bengkel dijalankan secara tidak formal berjaya menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Norziati yang kini bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat di Bandar Baru Bangi, Selangor memberitahu novel itu bukan hasil karya pertama.
Sebelum itu, Norziati menulis sebuah buku panduan Buat Duit Dengan MLM yang diterbitkan pada 2007. “Buku itu merupakan kesan daripada kegemaran saya mencatat di sana-sini,” ujar beliau.

AKTIVITI ekstrem seperti mendaki antara kegemaran Norziati mengisi masa senggang.


Ditanya mengenai idea dalam menghasilkan sesuatu karya, beliau berkata ia boleh wujud di mana-mana sahaja. “Kadang-kadang walau ketika memandu, saya akan juga merakam idea yang datang segera kerana jika tidak, ia hilang dibawa angin,” katanya sambil tersenyum.
Bawa buku nota
Lantaran itu wanita berkenaan sentiasa membawa buku kecil dan pen untuk mencatat.
“Meskipun kini telefon pintar mempunyai aplikasi nota yang membolehkan kita menaip dengan segera, saya lebih gemar menulis dengan tangan.

“Kadangkala isu semasa juga boleh mendatangkan ilham. Ketika harga getah naik mendadak pada awal tahun lepas, saya merasa tersinggung dengan sikap wartawan yang saban hari melaporkan ‘kekayaan’ dan ‘pendapatan’ penoreh getah, hingga sanggup mengejar berita di kebun getah. Melihat berita itu, saya merasa terpanggil untuk menulis sesuatu. Hasilnya, lahirlah puisi Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya pada 20 Mac 2011. Tanpa disangka, puisi ini memenangi hadiah utama HSKU 2011 yang berlangsung bulan Oktober lalu,” katanya mengimbas kenangan itu.
Bukan hanya menulis, pada masa senggang beliau melibatkan diri dalam aktiviti sukarela. Katanya, sewaktu zaman belajar dahulu, setiap cuti semester jadual akan penuh dengan pelbagai aktiviti, daripada ekspedisi berbasikal hingga perkhemahan, mengendalikan kem motivasi dan kerja sukarela yang memberi bantuan awal kecemasan.
Kini pula, beliau terlibat secara aktif dalam Teach For The Needs (TFTN), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberikan khidmat tuisyen percuma kepada murid corot, tercicir, kurang berkemampuan dan anak yatim.
“Apabila mempunyai masa terluang, saya melibatkan diri dalam komuniti Goodscycle yang menjual barangan terpakai secara car boot sale di sekitar Bandar Baru Bangi, Bukit Mahkota dan Taman Pulai Indah, Johor,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: