|
SEJAK pukul 10 pagi Ahad lalu, Sharum Nizam Masuran, 39, dan isteri bersama anak perempuan mereka serta seorang anak saudara telah berada di Pantai Remis, Kuala Selangor.
Tujuan mereka bukanlah untuk beristirehat atau menjamu selera di pantai peranginan itu tetapi mempunyai agenda yang lebih besar iaitu mencari remis. Hidupan bercangkerang yang menghuni kawasan tersebut sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan kerana isinya yang manis.
Setelah mengenal pasti lokasi yang sesuai, lelaki itu segera ke gigi air sambil membawa sudip kayu dan beg plastik. Tiba di satu tempat, dia duduk untuk menguis-nguis pasir. Apabila terdengar bunyi sudip kayu bergeser dan berlaga dengan objek keras, lelaki itu tersenyum kerana itulah yang dicarinya.
“Apabila remis yang hidup terkena sudip kayu, bunyinya padat. Mata kena tajam dan tangan perlu pantas mengutipnya, jika tidak ia hilang dihanyutkan ombak laut.
“Jika bernasib baik, dalam tempoh empat jam kami mampu mendapatkan sehingga 7 kilogram remis,” katanya yang biasa melakukan aktiviti tersebut pada hujung minggu.
Remis yang saiznya sebesar duit 20 sen boleh direbus, dimasak sambal atau remis yang direbus dikopek isinya untuk dicampur ke dalam nasi goreng. Rasanya sangat enak.
Pelbagai ragam
Itulah antara gelagat orang ramai di pantai peranginan itu yang boleh disaksikan pengunjung terutama pada hujung minggu.
Dengan masa perjalanan kira-kira satu setengah jam dari ibu negara, tidak hairanlah pantai itu tidak pernah sepi daripada tumpuan pengunjung.
Sebaik sahaja tiba di destinasi itu terutamanya pada hujung minggu, pengunjung boleh menyaksikan ramai peniaga di sepanjang pantai itu. Selain menjual hasil laut seperti kerang, laladan ikan segar, pengunjung boleh membeli pakaian, buah-buahan dan layang-layang.
Di pintu masuk medan selera, kepelbagaian warna, saiz dan jenis layang-layang seakan-akan mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
Jika tiupan angin baik, permainan layang-layang boleh memberikan satu kenangan unik di kawasan ini.
“Ada pelanggan sanggup membeli layang-layang berharga RM50, namun peliknya apabila layang-layang terbang tinggi, talinya dipotong lalu ia jatuh ke dalam laut.
“Apabila ditanya, jawab pelanggan itu, jawabnya ‘hanya untuk suka-suka’,” kata Yusof Budi, 53, yang sudah 13 tahun berjualan di situ.
Pantai berlumpur
Pantai peranginan yang banyak ditaburi kulit kerang itu tidak begitu sesuai untuk aktiviti mandi-manda kerana pantainya berlumpur. Bagaimanapun, bagi sesetengah pengunjung, ia bukanlah satu alasan untuk mereka melepaskan ‘gian’ mandi laut.
Meskipun airnya tidak sejernih pantai peranginan lain, faktor ombak yang sederhana dan kawasan pantai yang landai membuatkan pengunjung berasa selamat untuk membasahkan diri.
Alangkah meriahnya apabila suara jeritan dan gurauan mereka memecahkan suasana tepi pantai. Bagi yang malu-malu, mereka sekadar bermain ombak di gigi air.
|
|
Apabila sudah penat dan perut kelaparan, anak-anak berlari-lari mendapatkan ibu bapa masing-masing yang menunggu di bawah redup pokok. Dalam suasana riang, mereka menikmati makanan dan minuman yang siap dibawa dalam gaya perkelahan.
Memasang khemah
Lain orang, lain minatnya. Di celah-celah orang yang bermandi-manda, boleh disaksikan segelintir pengunjung sibuk menjaring dan memancing ikan.
“Hampir setiap minggu, saya membawa isteri dan anak-anak berkelah dan memancing di sini. Ada kalanya, kami memasang khemah dan bermalam di tepi pantai,” kata Asmui Othman, 45, dari Kota Damansara.
Aktiviti memancing dan berkhemah merupakan salah satu cara bagi keluarga berkenaan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Asmui yang merupakan seorang pemandu lori turut menceritakan suasana malam Pantai Remis yang mempunyai keindahan tersendiri. Selain menikmati bunyi ombak, kegelapan malam bertemankan cahaya lampu suluh mampu menenangkan fikiran.
“Untuk hiburan, kami boleh mendengar bunyi nyanyian karaoke dari kawasan resort berhampiran. Bunyinya yang kuat memecah keheningan malam di sini,” ujar bapa kepada lima orang anak itu.
Makanan laut
Medan selera dan gerai-gerai di sepanjang pantai yang dibuka setiap hari mempunyai tarikan istimewa. Di medan selera itu, makanan laut merupakan menu wajib yang tidak boleh dilepaskan oleh pengunjung.
Kerang rebus atau bakar antara menu utama makanan laut di kebanyakan gerai. Dijual pada harga RM7 sepinggan, ia menjadi penambah kelazatan selain pesanan menu-menu lain.
Tidak cukup dengan kerang, pelanggan boleh menempah ikan bakar, nasi dan mi goreng yang boleh dinikmati pada harga bermula serendah RM4 sehidang.
“Kerang dan ikan bakar menjadi pilihan utama pelanggan saya. Pelbagai jenis ikan seperti gerut, siakap, bawal dan cencaru boleh didapati dengan harga antara RM5 hingga RM35 setiap seekor,” kata Rosnani Atan, 43, peniaga di medan selera berkenaan.
Sabtu, Ahad dan cuti umum, Rosnani yang dibantu suami dan anak-anak tidak menang tangan melayan para pelanggannya.
Hasil laut
Setelah puas berjalan-jalan atau bermain seharian bersama anak-anak di tepi pantai, tentulah terasa penat. Anak yang riang pun mulai merengek keletihan.
Sebelum pulang, apa kata anda menjenguk sebentar di gerai jualan hasil laut yang terletak di belakang medan selera.
Pelbagai hasil laut yang segar antaranya kerang, lala dan lokan boleh didapati dengan harga berpatutan. Jadi, apabila pulang nanti tidak perlu lagi bersusah-payah ke pasar untuk membeli barangan basah.
“Kami mendapat bekalan hasil laut daripada nelayan tempatan, namun kami hanya membuka gerai pada hujung minggu, cuti umum atau cuti persekolahan sahaja,” kata seorang peniaga, Wati Ismail, 44.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: