Sunday, December 16, 2012

Lagi bantuan ke Gaza

bersemangat... Sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan, Aqsa Syarif bersorak sebelum berlepas ke Gaza di KLIA, baru-baru ini.
PERTUBUHAN misi bantuan kemanusiaan, AQSA Syarif baru-baru ini berlepas ke Gaza bagi meneruskan misi kumpulan tersebut menyalurkan bantuan kecemasan ke negara bergolak itu.
Rombongan 18 sukarelawan itu terdiri daripada ahli Aqsa Syarif, krew media dan juga duta Aqsa Syarif, Afdlin Shauki bersama krew Vision Works.
Misi tersebut merupakan yang kedua daripada empat misi yang diaturkan selepas serangan besar-besaran selama tujuh hari yang dilancarkan oleh pihak Israel. Bagaimanapun bantuan tersebut merupakan misi yang ke-11 yang disalurkan oleh Aqsa Syarif sejak awal penubuhannya.
Ketua misi, Nor Azmi Talib berkata, misi bantuan kali ini memfokuskan kepada bantuan kecemasan dan ubat-ubatan dengan peruntukan sebanyak RM450,000 daripada hasil kutipan yang dilancarkan.
"Di samping menemui mangsa-mangsa serangan rejim Zionis Israel, rombongan misi akan membuat penyerahan bantuan berbentuk keperluan hidup kepada penduduk Gaza seperti bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan seharian mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian sebelum berlepas mengetuai kumpulan bantuan kedua itu. Misi bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Kaherah dan dijangka tiba di Gaza pada 10 Disember.
Sebanyak RM1.5 juta telah disampaikan oleh kumpulan pertama yang berlepas pada 29 November lalu dan diketuai oleh Pengerusi Aqsa Syarif, Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd. Nor.
Sementara itu, Afdlin berharap orang ramai tidak kira keturunan dan agama dapat sama turut membantu mengikut kemampuan masing-masing dalam meringankan bebanan yang menimpa penduduk Gaza.
Afdlin bersama krew Vision Works akan membuat penggambaran kesengsaraan yang dihadapi rakyat Gaza dengan merakam suasana kawasan yang menjadi nahas serangan Israel dan juga keadaan mangsa serangan.
"Diharap dengan usaha ini dapat menggalakkan dan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap situasi sebenar yang menimpa penduduk Gaza agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada mangsa," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke dalam akaun Aqsa Syarif Berhad, 551575004299 (Maybank Islamik) atau 12092010034904 (Bank Islam).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: