Wednesday, December 5, 2012

Kemeriahan Krismas di Viva

PENGHUNI Rumah keluarga Kami (kiri) bersalaman dengan Santa Klaus sempena pelancaran sambutan Krismas baru-baru ini.


SUASANA dan perasaan gembira jelas kelihatan pada setiap wajah kanak-kanak yatim piatu terutamanya ketika menerima sumbangan hadiah daripada ikon perayaan Krismas, Santa Klaus di pusat beli-belah Viva, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seramai 75 orang kanak-kanak termasuk penjaga mereka dari Rumah Ozanam, Rumah Kanak-kanak Impian dan Rumah Keluarga Kami seluruh Selangor beratur menunggu giliran untuk bersalaman serta menyatakan hasrat kepada lelaki berjanggut putih yang memakai baju merah itu.
Mereka turut diraikan dengan penganjuran bengkel seni. Setiap seorang daripada mereka diberikan sehelai baju T untuk dilukis sebarang corak mengikut kreativiti masing-masing.
Sebelum itu, kanak-kanak dari ketiga-tiga rumah anak yatim tersebut diberi dandanan dan potongan rambut sebagai persediaan menyambut Krismas di salon Hair Atelier.
“Senyuman yang terukir pada wajah kanak-kanak tersebut menunjukkan usaha kami bagi memenuhi harapan Krismas mereka berjaya,” kata Pengurus Besar, Kenny Chin pada majlis pelancaran Bengkel Santa tersebut.
Mereka juga menerima sumbangan bantal daripada Goodnite dan selepas majlis berakhir, anak-anak yatim tersebut dihiburkan dengan tayangan filem Rise of the Guardian.
Bertemu maskot
Menjelang sambutan Krismas pada tahun ini, pusat beli-belah Viva mengadakan tarikan berbeza daripada lokasi-lokasi beli-belah lain bertemakan Bengkel Santa (Santa’s Workshop) di ruang legar, tingkat bawah.
Bermula dari 28 November 2012 hingga 1 Januari 2013, para pengunjung boleh melawat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis barangan seperti cenderamata, gula-gula dan barangan kraftangan.

RUANG legar aras bawah Pusat Beli Belah Viva dihias dengan dekorasi Krismas sempena sambutan perayaan bertemakan Bengkel Santa.


Selain itu, orang ramai juga boleh bertemu dengan maskot Viva sempena Krismas kali ini, Vivi The Elf bagi menyertai pengembaraannya.
“Bengkel Santa mempamerkan dekorasi barang-barang permainan yang besar dan pohon-pohon Krismas yang pasti membangkitkan nostalgia.
“Semuanya bagaikan dalam dunia Krismas yang penuh dengan keajaiban,” ungkap Kenny lagi.
Persembahan tarian, bengkel kraftangan, sesi bergambar dan bermesra dengan Santa Klaus serta pertandingan mewarna turut diadakan.
Tidak ketinggalan, pusat beli-belah tersebut menawarkan potongan sehingga 80 peratus di kedai-kedai yang terpilih.
Viva juga mengadakan pertandingan menghias patung kuda yang disertai oleh pelajar-pelajar kesenian daripada kolej-kolej tempatan seperti Kolej Tunku Abdul Rahman, Institut Seni Malaysia, Kolej Saito dan Institut Reka Bentuk Raffles.
Pemenang pertandingan tersebut akan diumumkan pada 12 Disember dan buat masa sekarang, semua kerja seni peserta sedang dipamerkan di ruang legar Viva.
Lebih bermakna, Viva turut membuat kempen istimewa bertajuk Sebarkan Kegembiraan sepanjang musim festival ini bagi menggalakkan para pengunjung menderma hadiah kepada anak-anak yatim.
“Orang ramai yang berhajat untuk menderma hadiah istimewa kepada anak yatim boleh membungkus hadiah di kaunter khidmat pelanggan kami yang terletak di aras bawah.
“Tulis harapan dan keinginan anda sempena Krismas dan hadiah tersebut boleh dihantar secara percuma,” terang Kenny mengenai cara pusat beli-belah tersebut dalam menggalakkan orang ramai menderma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: