Wednesday, December 5, 2012
Bunga api iringi pemergian Gypsy
WARREN BLACKWELL memegang bekas abu peneman kesayangannya selama lapan tahun, Gypsy. Dia tidak mampu untuk mendapatkan tempat yang tepat atau majlis yang sesuai bagi meraikan kehidupan haiwan peliharaan kesayangannya itu.
"Saya tidak mampu untuk menyediakan apa-apa yang sesuai dengannya untuk membuatkannya gembira," katanya berulang kali.
Anjing baka Staffordshire terrier yang setia dan bijak itu dilanggar kereta ketika berusia empat tahun sebaik Blackwell berpindah ke bandar dari kawasan desa. Itu adalah saat yang paling menakutkan dan menurutnya, perlu diberi upacara perpisahan yang sewajarnya.
"Saya berikan bantuan pernafasan mulut ke mulut dan berusaha untuk membawanya ke hospital haiwan tetapi ia mati.
"Saya tidak mahu meraikan kematian dengan sesuatu yang mengenang detik kematiannya. Saya mahukan ia berkaitan dengan kehidupannya," katanya.
Jadi, Blackwell tidak berfikir dua kali apabila kawannya, Craig Hull yang merupakan penghibur sarkas terlatih dan juruteknik persembahan bunga api menawarkan pertolongan. Hull mahu Gypsy 'pergi' dengan bergaya.
Blackwell merupakan pelanggan pertama firma pengebumian Hull, Ashes to Ashes yang menggunakan bunga api sebagai tarikan.
Ketika Hull mencadangkan perkara tersebut, saya berkata: "Kawan, saya mahu menjadi orang pertama melakukannya." Matanya sambil melihat matahari terbenam berhadapan permukaan air menghadap Sydney Harbour yang bakal menjadi tempat persemadian terakhir Gypsy.
Pengalaman serupa
Ashes to Ashes bermula lebih kurang tiga tahun lalu ketika dua ekor anjing kesayangan Hull, Zeus dan Gyprock terbunuh lalu menyebabkan terdapat satu ruang kosong yang besar dalam kehidupan penghibur tersebut.
Zues merupakan anjing kacukan German shepherd dan Akita manakala Gyprock ialah anjing campuran labrador putih dan cattle.
Dia sudahpun menaburkan abu 'sahabatnya' itu ketika acara pembukaan Sukan Olimpik. Bagaimanapun, Hull tetap berasakan anjingnya patut mendapat sesuatu yang lebih baik.
"Saya fikir, dengan bekerja sebagai juruteknik pertunjukan bunga api, saya boleh menghantar mereka ke alam kematian dengan bunga api. Jadi, saya lakukan," kata Hull.
Berbanding cara lama iaitu memori sedih mengiringi upacara menabur abu ke dalam air, Hull berpendapat, dia membayangkan warna dan cahaya ketika anjing-anjingnya 'diterbangkan ke langit' dalam pertunjukan bunga api.
"Sangat mustahil untuk membolehkan abu seseorang ditebarkan seperti itu ke kawasan yang besar di udara.
"Saya rasakan ini sangat mengagumkan, orang lain sepatutnya boleh merasai pengalaman seperti ini," katanya.
Pakej menghantar abu haiwan kesayangan berharga A$990 (RM3,139) merangkumi pertunjukan bunga api, runut bunyi, katering dan hidangan minuman.
Upacara menghantar haiwan-haiwan peliharaan dilakukan secara berkumpulan iaitu empat ekor dalam satu kelompok. Kata Hull, pemilik haiwan peliharaan gemar menunjukkan foto anjing sesama mereka untuk berkongsi memori.
Untuk manusia
Hull juga menawarkan perkhidmatan tersebut kepada manusia walaupun sehingga kini masih belum ada yang muncul menerima tawaran tersebut.
Harga bermula pada A$4,800 (RM15,220) dan menurut Hull, dia bercadang mahu mengadakan sebuah majlis bunga api yang besar seakan-akan Sambutan Malam Tahun Baru berbanding acara yang kecil seperti sekarang.
Dia kini sedang mengkaji sebarang kemungkinan untuk melancarkan abu ke angkasa lepas.
"Ia bukan suatu kelaziman tetapi saya percaya ia akan menjadi perkara biasa suatu hari nanti.
"Orang ramai sangat kreatif, mereka mahukan banyak perkara yang berbeza seperti abu ditabur ke empat buah bandar berbeza secara serentak dalam beberapa saat," ujarnya sekadar memberi contoh.
Penonton dalam bilangan yang sederhana ramai berkumpul di bawah pohon untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Gypsy.
Bunyian dalam percikan cahaya emas, perak dan biru melatari suasana dan diakhiri dengan tepukan gemuruh sebaik sahaja bekas terakhir yang mengandungi abu meletup.
Saat terakhir Gypsy ditandakan dengan bunga api berbentuk hati dengan rona merah yang perlahan-lahan hilang di langit yang berasap itu.
Air mata Warren berlinangan dan dia melompat kegirangan dari ambal pikniknya.
"Bagaimana? Itu ialah Gypsy," teriaknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: