Monday, December 3, 2012

Karya memupuk nilai murni

ANTARA hasil karya Hazami sepanjang perjalanan kerjaya penulisannya.


BERASAL dari Pulai Chondong, Kelantan, Hazama Harun, 41, mengakui terlibat dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Ia adalah kesan daripada latar belakang keluarganya yang suka membaca.
Kini, menjawat jawatan sebagai Pengarang Bahasa Melayu di syarikat penerbitan EPH Publishing Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Popular Book Co. (M) Sdn Bhd., Hazama telah menghasilkan beberapa judul buku di bawah nama sebenar dan nama pena.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu bermula dengan menulis cerita-cerita pendek dan sajak. Ia dilakukan untuk sekadar mengisi masa. Namun, minat itu katanya, terus dipupuk dengan galakan dan sokongan daripada keluarga, guru-guru dan rakan-rakan.
“Sajak saya bertajuk Bicara 1 pertama kali tersiar di akhbar Bacaria pada tahun 1986 dan disusuli sajak Kerana Kita Anak Desa di majalah Dewan Siswa pada tahun berikutnya. Ia turut dimuatkan dalam antologi Kulepaskan Resah Sepi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1988,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Novel pertamanya hanya muncul pada tahun 2004 kerana Hazama lebih memberi tumpuan kepada penulisan sajak dan buku akademik. Apatah lagi, sebaik tamat pengajian, dia diterima bekerja sebagai pengarang Bahasa Melayu di syarikat penerbitan buku pendidikan, Sasbadi Sdn. Bhd.
Pada tahun 2003, Hazama mengambil keputusan untuk menjadi penulis bebas sepenuh masa. Dia memilih penulisan novel kanak-kanak tetapi tidak melupakan karya cerpen dan sajak.
Siri Sastera Kontemporari merupakan siri novel pertamanya yang terbit pada tahun 2004
Kemudian, beberapa siri novel kanak-kanak dan awal remaja menyusul pada tahun-tahun berikutnya seperti Siri Aneka Bacaan, Siri Cerita Motivasi Remaja, Siri Alfi Menjejak Misteri, Siri Jendela Hati Cermin Budi dan Siri Sastera Kontemporari Remaja.
“Pada ketika itu, saya menggunakan nama pena Hakimi Muhammad kerana penulisan siri novel tersebut diusahakan bersama suami saya, Mohd. Izan Abd. Hazes,” katanya.
Ini diikuti dengan pelbagai hasil nukilan khususnya bacaan untuk remaja menggunakan nama pena Aiza Zizan selain namanya sendiri. Antara judul yang dihasilkan ialah Dilema Kasih, Koloni, Titik-titik Kelabu dan Utuh.
Pengajaran berguna
“Bagi penulisan novel kanak-kanak, unsur positif, nilai murni, perpaduan, semangat dan jati diri adalah antara elemen yang perlu diterapkan. Sebagai penulis, saya memikul tanggungjawab, bukan hanya menyampaikan cerita malah pengajaran yang berguna untuk mendidik pembaca muda,” ujarnya tentang gaya penulisan.
Hazama turut memberitahu, berita di media massa setiap hari boleh dijadikan asas sesebuah penulisan cerita. Ia digarap dengan kreativiti lalu dikembangkan menjadi plot cerita yang tersusun.
Ternyata Hazama tidak mempunyai idola khusus dalam dunia penulisan. Dia mengagumi semua sasterawan dan penulis di Malaysia. Katanya, selagi bahan bacaan itu baik, beliau akan terus membaca.
“Saya membaca karya yang pelbagai, tidak kira novel berbahasa Inggeris, Melayu ataupun novel terjemahan. Saya membesar dan dewasa dengan karya-karya A. Samad Said, Azizi Haji Abdullah, Keris Mas, Kemala dan Anwar Ridhwan.
“Saya juga meminati karya Khadijah Hashim, Khairuddin Ayip, Sri Diah Shaharudin, Rohani Deraman, Uthaya Sankar SB, Faisal Tehrani dan penulis-penulis lain,” katanya.
Kekangan masa
Buat masa kini, ibu kepada dua orang anak itu hanya dapat menulis pada waktu rehat, hari minggu atau pada lewat malam. Apabila terlibat dalam masalah kekangan masa, ia kerap kali menyebabkan Hazama terkejar-kejar menyiapkan manuskrip sebelum tarikh akhir.
“Namun segala cabaran dan kesukaran itu tidak pernah mematahkan semangat saya kerana minat dan kecintaan pada bidang penulisan ini sangat mendalam,” ujarnya.
Hazama bakal kembali dengan karya antologi puisi siber wanita oleh penggiat puisi di esastera.my (susulan antologi puisi Kupilih Dikau) dan dijadualkan terbit pada tahun 2013.
Selain itu, beliau juga sedang menyiapkan novel cinta pertama, Bukan Mudah Bercinta. Dia berharap, novel itu dapat diterbitkan pada tahun 2013.
Selain penulisan, Hazama juga berminat dengan kerja kraf tangan, seperti mengait dan membuat barangan aksesori diri termasuk manik bagi hiasan tudung serta baju.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: