Sunday, December 9, 2012

Ilmu pemasaran jadi ‘senjata’

pix_middle
MENJANA pendapatan hampir RM200 sehari hasil penjualan baucar ketika belajar di menara gading pernah membuatkan lelaki ini berhasrat menghentikan pengajiannya gara-gara ingin mengaut keuntungan lebih.
Namun, ketegasan ibu bapa di rumah terhadap pendidikan membuatkan penjawat Ketua Pegawai Operasi Jati Bestari Sdn Bhd (Jati Bestari) ini kecut perut dan memendam impian bergelar jurujual, sebaliknya meneruskan pelajaran.
Dilahirkan dalam keluarga sederhana, dibesarkan ibu bapa yang menyara hidup dengan berniaga dan melalui proses didikan tegas, Nor Azman Hussain Sahib Marican mengakui dirinya lebih berdikari dan bersikap ‘family man’.

“Bayangkan, menerima sejumlah wang yang besar pada usia 20-an pasti membuatkan diri lebih bersemangat mendapatkan pendapatan lebih, namun syukur saya tidak memilih untuk mengikut kata hati.

“Ibu bapa antara penyebab utama saya berada di kedudukan ini pada hari ini. Hidup dihimpit kesusahan membuatkan ibu bapa bekerja keras menyara saya dan kakak, manakala kesempatan bertemu hanya pada waktu malam.

“Namun, ia tidak bermakna mereka mengabaikan kebajikan saya sebagai
anak. Setiap hari selepas tamat waktu persekolahan, kami dua beradik pulang ke rumah untuk mendapatkan wang yang disembunyikan mak di tempat tertentu bagi membeli makanan tengah hari.

“Untuk tahu di mana wang disembunyikan, saya perlu menggunakan telefon rumah bertanya mak. Dalam masa sama, mereka tahu saya dan kakak selamat tiba di rumah,” katanya ketika ditemui.

Mengerti kesulitan hidup dilalui keluarga, Nor Azman tidak membuang masa melakukan aktiviti luar, sebaliknya banyak menghabiskan masa menelaah dan menanti kedatangan tutor ke rumah tiga kali seminggu.

Lulus cemerlang dalam peperiksaan A Level, lelaki ini menyambung pengajian di National University of Singapore bagi jurusan perniagaan yang diminati sejak kecil dan pada masa sama, bekerja sambilan mencari pendapatan untuk menampung kehidupan di universiti.

Sewaktu bergelar jurujual, Nor Azman menyedari anugerah tersembunyi dimilikinya iaitu kemahiran dalam pemasaran, yang mana dia bijak menarik perhatian bakal pembeli, sekali gus memberi pulangan tinggi kepadanya.

Mengetahui kelebihannya, anak muda ini bertindak pantas mencari pekerjaan dalam bidang pemasaran sebaik menamatkan pengajian selepas tiga tahun dan ternyata rezeki berpihak kepadanya apabila ditawarkan jawatan sebagai eksekutif pemasaran.

Membanting tulang di syarikat berasaskan produk kesihatan sememangnya memenatkan, namun di sana adalah ‘pondok’ bagi Nor Azman memperkembangkan dan mempertajamkan skil dalam dirinya.

Apabila dikhabarkan syarikat bakal membuka cawangan baru di Johor Bahru, anak kelahiran Kota Singa ini secara sukarela menawarkan diri untuk berhijrah ke Malaysia mewakili pihak majikan.

“Saya suka mencuba sesuatu yang baru dan bagi saya, tawaran itu bakal membuka banyak peluang lain dalam kerjaya.

Selepas enam bulan di Johor, saya dilantik menjadi pengarah pembangunan perniagaan yang bertanggungjawab memantau operasi syarikat di seluruh negeri itu.

“Mungkin atas dasar percaya pihak syarikat terhadap kemampuan diri, saya kemudian diamanahkan untuk mengawal operasi pemasaran di Kuala Lumpur.

“Di samping menjalankan tanggungjawab, saya mula membina jaringan komunikasi baik dengan pelanggan mahupun individu daripada pelbagai cabang perniagaan,termasuk ketika mewakili Singapura ke ‘Business Chamber Commerce of Singapore’ yang disertai ramai ahli perniagaan muda,” katanya.

Optimis dengan keupayaan diri dan pengalaman dimiliki, Nor Azman mengambil langkah berani memulakan perniagaan franchais telekomunikasi pada 2004 yang mampu beroperasi setahun lebih.

Akuinya, kegagalan syarikat pertama disebabkan kesilapan sendiri yang kurang ilmu dalam pengurusan kewangan syarikat.

Kemudian, Nor Azman membangunkan sebuah lagi syarikat baru yang hanya mampu ‘bernafas’ setahun gara-gara dirinya menghadapi masalah peribadi hingga menjejaskan syarikat sendiri.

Jatuh terduduk membuatkan kehidupan lelaki yang berkeluarga ini dihimpit kesusahan, apatah lagi dengan kehadiran cahaya mata pertama.

Pilihan yang ada ketika itu memaksa Nor Azman memakan gaji dalam bidang perundingan bagi menganjurkan sebarang majlis.

Dua tahun bekerja dengan orang, lelaki ini membuat keputusan nekad berniaga secara kecil-kecilan dan persendirian, iaitu menjadi perunding bagi syarikat luar yang ingin membuka perniagaan di Malaysia.

“Mujur saya ada ramai kenalan dan semakin ramai mempercayai kemampuan diri biarpun ketika itu, cuma saya dan isteri menguruskan perniagaan.

“Hasil pendapatan hanya cukup makan, namun saya tetap membuat tabungan sendiri. Hasil simpanan itu dijadikan modal permulaan untuk menubuhkan Jati Bestari pada 2010 dengan dua lagi rakan kongsi.

“Mustahil untuk mendapatkan pinjaman bank kerana rekod saya tidak begitu baik dan tiada slip pendapatan sempurna.

“Syukur, berbekalkan modal sebanyak RM15,000, syarikat ini mula beroperasi dan syarikat makanan dari Singapura menjadi pelanggan pertama,” katanya.

Melihatkan portfolio baik Jati Bestari, Ayamazz Sdn Bhd, pemilik rangkaian makanan segera, Ayamazz Roti Impit yang juga syarikat di bawah kumpulan KFC Holdings Malaysia Bhd (KFCH) menyerahkan lesen induk kepada syarikatnya bagi menguruskan aktiviti perniagaan francais, termasuk pemasaran, promosi, pembukaan cawangan baru dan pelantikan francaisi.

Dilancarkan pada Februari 2012, Nor Azman mengakui syarikatnya lebih arif dalam industri makanan dan minuman, namun tidak bermaksud menutup pintu kepada pihak yang memerlukan khidmat Jati Bestari.

Jelasnya, Ayamazz Roti Impit mempunyai 30 kedai di seluruh Malaysia dan mensasarkan pembukaan lebih 100 cawangan sebelum tirai 2012 berlabuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: