Ia menjadi kenyataan apabila penulis berkunjung ke bandar di sebelah utara California, Amerika Syarikat itu awal September lalu atas jemputan pembuat cip pemproses komputer terkemuka dunia, Intel Corp bagi mengikuti Forum Pembangun Intel (IDF) 2012.
Pelawaan untuk mengayuh daripada rakan penulis (Samsudin) yang juga ‘kaki basikal’ dan kini menetap serta bertugas di bandar Santa Clara berhampiran San Francisco, bersama seorang lagi rakan dari Singapura (Hisham) yang juga ‘kaki basikal’ dan turut datang untuk bermesyuarat di ibu pejabat syarikatnya di sana, sukar ditolak.
Walaupun San Francisco memiliki banyak kawasan beriadah sama ada berbasikal atau berjoging, kami memilih untuk melintas jambatan Golden Gate yang menjadi mercu tanda bandar dengan jolokan Pusat Kewangan Utama dan Bandar Budaya itu.
Dalam cuaca sejuk sekitar 16 darjah Celsius bersama tiupan angin yang kuat, kami memulakan kayuhan dari Crissy Field, iaitu satu kilometer di sebelah utara jambatan pada jam 5 petang.
Dari kawasan mendatar di Crissy Field, kayuhan kami semakin berat apabila laluan semakin membukit menuju ke jambatan. Kayuhan kami terhenti-henti sambil merakam gambar dan menikmati pemandangan indah di sekeliling.
Selepas 20 minit berkayuh, kami sampai di permulaan jambatan yang ada laluan khas untuk penunggang basikal dan pejalan kaki. Oleh itu, keselamatan pengguna adalah terjamin kerana tidak bercampur dengan laluan kenderaan.
Bukan kami bertiga saja, malah ramai lagi turut berkayuh dan berjoging di laluan sama. Tidak kira orang tempatan atau pelancong, mereka dilihat mengamalkan cara hidup sihat.
Kayuhan diteruskan hingga ke kawasan menara gantung, di mana kami alami satu peristiwa menggerunkan kerana angin terlalu kuat hingga basikal kami tiba-tiba terhenti di kawasan itu. Ia mungkin disebabkan ada saluran angin apabila tiupan dari arah laut itu tersekat oleh menara berkenaan.
Jambatan ini memiliki menara gantung tertinggi di dunia iaitu setinggi 230 meter dari aras laut (sehingga 1998 saja), juga adalah jambatan kedua terpanjang di Amerika Syarikat selepas jambatan Verrazano-Narrows di bandar New York.
Ia menjadi satu-satunya jalan keluar dari bandar San Francisco ke selatan Semenanjung California yang juga sebahagian daripada lebuh raya US Route 101 dan California State Route 1.
Menurut statistik negara berkenaan, kira-kira 1,929,896,448 kenderaan melintasi jambatan Golden Gate itu sejak dibuka pada 1937.
Kami meneruskan kayuhan hingga ke penghujung jambatan saja dan berpatah balik kerana hari semakin gelap dan angin bertambah kuat. Tak terasa pun keluar peluh kerana sejuk yang amat.
Bila cuaca bertambah sejuk, kayuhan balik bertambah laju kerana tak tahan dan angin pula bertiup tanpa rehat. Selepas 20 minit, kami sampai ke kawasan pakir di depan beberapa pusat jualan pelbagai peralatan sukan di Crissy Field, daripada joging, basikal hinggalah ke peralatan mendaki gunung.
Gila juga dibuat apabila masuk ke pusat jualan itu, sebab apa yang kita nak semuanya ada. Pilih punya pilih, belek punya belek, akhirnya tak beli satu apa pun akibat rambang mata.
Akhirnya, kami bertiga bergerak ke bandar San Francisco berhampiran dengan hotel penginapan penulis di Jalan O’Farrel untuk makan malam di restoran yang menghidangkan pelbagai jenis kebab.
Alhamdulillah, sepanjang berada di bandar kosmopolitan itu, penulis tidak menghadapi kesukaran mendapatkan makanan halal kerana ia mudah diperoleh.
Di sekitarnya ada beberapa restoran halal dengan hidangan mamak, Siam atau Asia Barat. Taklah ‘home sick’ sangat.
Ramai orang Islam di sana. Ketika penulis daftar masuk hotel pun, yang menyambut di kaunter itu semuanya Islam yang kebanyakannya dari Afghanistan.
Seronok berjalan-jalan di San Francisco dan ia juga menjadi bandar yang penulis rasanya nak datang lagi. Bandar ini cantik, tenang dan nyaman. Apatah lagi membeli-belah.
Penulis yang tidak pernah membeli beg tangan sebelum ini, akhirnya balik dengan enam beg tangan jenama terkenal. Apa tidaknya, kalau di KL harganya boleh mencecah RM3,000 hingga RM4,000, tapi di sana boleh potong sampai 70 peratus. Dapat pula peluang ke ‘factory outlet’, apa lagi... boronglah.
Banyak tempat menarik di sekitar San Francisco yang seluas 121.4 kilometer persegi. Ia kini antara destinasi pelancongan utama dunia, di kedudukan ke-35 daripada 100 bandar pelancongan utama dunia.
Ia juga menjadi bandar utama AS kedua paling padat selepas New York, dengan kepadatan 6,632 orang bagi setiap kilometer.
Jika melihat bentuk muka buminya, memang unik.
Kerana ia seperti beralun, berbukit-bukau walau di tengah-tengah bandar.
Ia akibat daripada kejadian gempa bumi pada 1906 yang dilapor memusnahkan satu pertiga bandar itu. Namun ia pantas dibina semula tanpa meratakannya.
Kalau biasa tengok adegan mengejar berkereta sama ada dalam filem mahupun drama bersiri, ia banyak dilakukan di sana.
Pengangkutan awam di bandar ke kawasan tumpuan bukan masalah. Kereta kabel, bas elektrik, kereta api bawah tanah dan teksi adalah paling utama. Unik lagi, semuanya berkongsi di atas jalan sama.
Sistem kereta kabel adalah satu-satunya pengangkutan bersejarah dan menjadi tarikan pelancong. Kata orang, tak sah kalau tak naik kerana dioperasikan secara manual.
Kini cuma tinggal dua laluan iaitu dari Union Square di tengah bandar ke Fisherman’s Wharf, manakala laluan kedua adalah di sepanjang Jalan California.
Perjalanan hampir setengah jam dengan kereta kabel dari Union Square ke Fisherman’s Wharf akan melalui China Town yang turut menjadi tarikan pelancong.
Sementara Fisherman’s Wharf adalah tempat membeli-belah pelbagai barangan termasuk cenderamata, pakaian, coklat dan makanan laut. Di situ juga terletaknya Pier 39 iaitu Taman Bersejarah Maritim Negara San Francisco, muzium Ripley’s Believe it or Not dan muzium lilin.
Dari situ juga, pelancong boleh menggunakan perkhidmatan bot atau feri untuk ke kompleks penjara bersejarah, Alcatraz yang jelas dapat dilihat dari jeti berkenaan. Penulis bertuah kerana ada Samsudin yang tinggal di sana, maka panjang jugalah langkah.
California juga adalah negeri yang menempatkan Lembah Silikon iaitu lokasi bagi syarikat IT terkemuka dunia menempatkan ibu pejabat mereka.
Sempat juga penulis ke kompleks atau kampus mereka termasuk Apple, YouTube, Oracle, Cisco, Google, eBay, HP dan Yahoo!, tapi cuma lalu dan tengok-tengok saja.
Cuma di Apple Campus penulis singgah kerana ada Apple Store yang satu-satunya turut menjual barangan cenderahati seperti baju-T dan topi.
Hari terakhir sebelum ke Lapangan Terbang San Francisco, penulis dan Hisham yang kebetulan balik pada hari sama dibawa oleh Samsudin melawat sekitar Palo Alto, iaitu kawasan perumahan yang juga tempat tinggal mendiang bekas CEO dan pengasas Apple Inc, Steve Jobs.
Kami singgah di Universiti Stanford iaitu institusi pendidikan terkemuka di AS yang dikatakan setanding dengan Oxford dan Cambridge.
Tak dapat belajar di situ pun tak mengapa, asalkan dapat menjejakkan kaki. Tunjukkan gambar kepada anak untuk naikkan semangat mereka supaya rajin belajar.
Lepas makan tengah hari, kami bergerak ke lapangan terbang untuk menempuh perjalanan 16 jam ke Hong Kong dan lebih empat jam lagi ke Kuala Lumpur. Memang boleh kematu punggung dibuatnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: