Terbaru, Mejar Dr Faiz Khaleed atau lebih mesra dengan panggilan Dr Faiz ini terlibat dengan sebuah program TV yang menjalankan penggambaran lebih kurang sebulan di Cape Town.
Penglibatan beliau itu dilihat cenderung mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang kini sudah memulakan karier dalam bidang lakonan filem N01-10 Hari: 21 jam:14 Minit Di Pintu Ajal.
“Buat masa ini, saya tak terfikir nak jadi artis atau pelakon,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Namun begitu, doktor berusia 32 tahun ini tidak menolak sekiranya mendapat tawaran menarik seperti Fear Factor Selebriti Malaysia.
“Saya belajar banyak tentang industri TV dan jika mendapat tawaran pada masa akan datang, saya akan nilai sewajarnya. Kalau saya suka, kenapa tidak... macam aktiviti lasak ke kerana tak semua orang dapat peluang ini,” katanya yang masih aktif memberi ceramah motivasi di peringkat sekolah, universiti dan korporat.
Dr Faiz menyertai rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia dan dipasangkan dengan pelakon, Jehan Miskin.
Ketika ditemui dalam sidang media dan pelancaran rancangan itu, semalam, Dr Faiz begitu teruja berkongsi pengalaman menyertai cabaran itu bersama 30 selebriti lain termasuk hos, Aaron Aziz.
“Saya terima tawaran untuk Fear Factor ini kerana sudah lama saya nak buat aksi yang dilihat dalam TV dan ia berlainan daripada apa yang saya lalui seperti latihan ketenteraan, seni bela diri dan sebagainya. Memang berbeza.
“Ia pengalaman yang berharga..Tujuannya hanya untuk saya rasai sendiri kerana apabila kita berdepan dengan perkara itu, baru kita tahu kekuatan dan kelemahan kita. Alhamdulillah saya tak rasa geli, cuma agak sukar bagi saya melakukan aksi imbangan. .Saya tak suka imbangan,” katanya sambil tergelak kecil kepada Sinar Harian Online.
Ketika ditanya perbezaan latar belakangnya dengan dunia seni, angkasawan negara ini berkata, “memang berlainan latar belakang saya tetapi apabila saya lihat saya tawaran, saya menerimanya. Kenapa? Kerana sudah lama saya nak buat aksi yang dilihat dalam TV.”
Sebelum ini, Dr Faiz juga pernah menyertai program realiti MasterChef Selebriti Malaysia namun tersingkir awal dan sikap berani mencuba sesuatu yang baru itu harus dipuji.
Dr Faiz juga memberitahu Sinar Harian Online bahawa pengalaman bekerja dengan orang-orang di luar bidang sendiri amat menarik memandangkan ia berbeza dengan tugasnya sebagai doktor gigi dan angkasawan.
Tidak mengelak ketika ditanya soal kahwin, Dr Faiz yang dikhabarkan putus cinta tahun lalu dengan personaliti TV itu akui masih belum ada perancangan untuk menamatkan zaman bujangnya.
“Buat masa sekarang, saya masih nak tumpu pada kerjaya... bina kerjaya dulu... untuk menuju ke arah itu belum lagi.
“Kalau ada jodoh, adalah, sekarang masih ‘single’ lagi. Kawan-kawan itu ada tetapi tak serius,” katanya dengan tersipu-sipu malu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: