Tak sangka jiran proses dadah
Kediaman dihuni lima lelaki dipercayai dijadikan markas memproses dadah.
BUKIT BERUNTUNG - Seorang penduduk di Taman Kemboja 5A di sini, tidak menyangka pekerjaan jualan langsung yang dilakukan jirannya adalah aktiviti penjualan dadah.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, 46, berkata, perkara itu hanya diketahui selepas melihat sepasukan polis dari Unit Narkotik menyerbu rumah jiran terbabit yang didiami lima lelaki, pagi semalam.

“Lebih enam bulan mereka tinggal di sini, namun tiada sesiapa menyedari ada aktiviti memproses dan menjual dadah di rumah itu.

“Selama ini saya menyangka mereka membuat jualan langsung produk makanan atau kesihatan tapi rupa-rupanya jual dadah,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, semua lelaki berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun itu berasal daripada Felda Trolak dan mula mendiami rumah tersebut sejak Mei lalu.

"Penduduk sedar semua mereka tidak banyak bergaul namun tidak mengesyaki sebarang kegiatan negatif dilakukan sepanjang tinggal di taman perumahan ini.

"Pada mulanya kami menyangka ada pergaduhan dan terkejut apabila polis menyerbu rumah itu kira-kira jam 11.15 pagi dengan memecahkan pintu serta jeriji besi rumah itu," katanya.

Rahim berkata, penghuninya bertempiaran melarikan diri tapi semuanya dapat ditangkap.

"Ada di antara mereka campak peket lut sinar berisi serbuk putih melalui tingkap belakang tingkat atas rumah itu ketika serbuan.
"Polis berjaya merampas semua peket lutsinar itu yang dipercayai dadah sebelum mereka dibawa ke balai," katanya.
Difahamkan, polis turut merampas dua kenderaan iaitu BMW dan Toyota Hilux milik suspek.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi mengesahkan mengenai serbuan berkenaan.