Saturday, December 1, 2012

Disedut corong gergasi



ANNUR ASYRAF CHE SAAD mengesat peluh jantan yang mula membasahi dahinya. Jantungnya berdegup kencang. Daripada riak wajahnya jelas membayangkan lelaki berusia 23 tahun itu sedikit gementar.
“Harap bersedia. Selepas ini giliran awak,” gegendang telinganya tiba-tiba menangkap suara garau seorang lelaki di hadapannya.
Annur Asyraf menghela nafas panjang. Masa yang ditunggu-tunggunya telah pun tiba.
Sebolehnya, dia tidak mahu ketinggalan mencuba Tornado Ride, permainan tunggangan yang menjadi tarikan utama pengunjung di Waterworld@i-City, taman tema air yang terletak di Shah Alam, Selangor itu.
Lagi pun, itulah rancangan dia bersama beberapa rakannya ke situ sebelum ini. Jika tidak, buat apa mereka perlu membuang masa beratur panjang di bawah panas terik matahari bagi mendapatkan giliran masing-masing.
Lengkap berpakaian sut mandi, Annur Asyraf mengambil tempatnya di atas tiub berwarna kuning yang mampu memuatkan empat orang pengunjung pada satu-satu masa itu.
Sekelip mata, tubuhnya dirasakan meluncur laju mengikut pergerakan tiub dihambat pancuran arus deras yang mengalir selaju 48 kilometer sejam.
Bermula dari sebuah terowong sempit dan curam sepanjang 49 meter, tubuhnya seakan ‘disedut’ ke bahagian corong gergasi berbentuk seperti pusaran puting beliung setinggi tujuh tingkat bangunan.
Selepas empat hingga lima kali berpusing-pusing di dalam corong yang semakin mengecil pada kedudukan 45 darjah, barulah pengembaraan selama 28 saat yang penuh mendebarkan itu berakhir.
“Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu. Debaran yang dilalui sama seperti menaiki sebuah roller coaster.
“Bagaimanapun saya rasa puas, ia memang nampak menggerunkan, namun ia berbaloi untuk dicuba,” kata pelajar tahun akhir jurusan pengurusan pelancongan dari Universiti Teknologi Mara itu sebaik sahaja menamatkan aksi dengan Tornado Ride.
Tarikan baharu i-City
Mula beroperasi pada 15 November lalu, Waterworld@i-City terletak di kawasan seluas 29 hektar di Seksyen 7, Shah Alam.

CHILDREN Adventures memberi ruang kepada si cilik bermain dan bermandi-manda.


Pengarah I-Berhad, Monica Ong berkata, pembinaannya adalah selaras dengan visi i-City untuk menjadi hab berasaskan teknologi di bandar raya itu, yang menawarkan aspek komersial dan hiburan.
“Waterworld@i-City merupakan komponen hiburan keempat di i-City selepas City of Digital Lights, Snowalk dan Fun World,” katanya.
Menurut Monica, sebagai sebuah taman tema air yang berorientasikan keluarga, pihaknya menyediakan pelbagai tarikan dan permainan kepada semua peringkat usia.
Antaranya, Wave Pool, River Adventure, Children Adventure, Rainbow Racer Sliders, Giant Jacuzzi dan Spiral Slides.
Namun katanya, tarikan utama di situ ialah Tornado Ride, yang dibangunkan melalui teknologi kejuruteraan terkini dari Kanada.
Katanya, mengaplikasikan konsep kinetik dan graviti, ia menawarkan pengalaman tunggangan yang melonjakkan adrenalin pengunjung.
“Ia merupakan permainan pertama seumpamanya yang wujud di taman tema air bukan sahaja di negara ini, bahkan rantau Asia Tenggara.
“Dalam masa selama 28 saat, pengunjung akan merasai debaran dan keseronokan yang tidak dapat digambarkan,” katanya memberitahu Tornado Ride boleh menerima purata 480 tunggangan dalam tempoh satu jam.
Tambah Monica, pengunjung ke taman tema air itu tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan.
“Kami mempunyai kakitangan terlatih dan sentiasa bersedia bagi memantau dan memastikan keselamatan pengunjung.
“Pada masa yang sama, segala peralatan dan permainan juga telah diuji dan disahkan selamat bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” jelasnya.
Pusat rekreasi sekeluarga
Mampu memuatkan lebih 5,000 pengunjung pada satu-satu masa, Waterworld@i-City dilengkapi pelbagai kemudahan seperti lokar, tandas, bilik persalinan, kedai serbaneka serta kerusi panjang dan kerusi rehat untuk keselesaan pengunjung.
Di samping itu, terdapat sebuah kios yang menyediakan aneka hidangan antarabangsa dan tempatan dengan kadar berpatutan.
Selain menjadi lokasi riadah, pihak pengurusan juga menyediakan pakej penganjuran acara dan majlis berskala kecil dan besar.
“Terdapat sebuah pentas terbuka lengkap sebuah skrin gergasi light-emitting diode (LED) disediakan berhampiran Wave Pool yang boleh digunakan bagi tujuan itu.
“Kami turut merancang untuk membuka sebuah gerai cenderamata serta menambah lebih banyak kios makanan serta beberapa tarikan lain pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung Mohd. Rafee Abdul Majid, 40, berkata, kehadiran Waterworld@i-City secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Selangor.

TORNADO Ride menawarkan konsep permainan kinetik dan graviti melalui corong gergasi.


“Segala-galanya ada di negeri ini, daripada pantainya yang indah, syurga gastronomi, hutan simpan, taman tema air, pusat beli-belah dan sebagainya.
“Ia pasti menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara sekali gus menjadikannya sebagai destinasi percutian terulung di Malaysia,” katanya yang menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Tambah Mohd. Rafee, dia berpuas hati dengan keseluruhan konsep taman tema air itu yang mempunyai pelbagai kemudahan gaya urban terbaik untuk keselesaan pengunjung.
Bagi M. Manimegalai, 40, dia tidak melepaskan peluang membawa keluarganya berkunjung ke taman tema air itu sempena musim cuti persekolahan kali ini.
Menetap di Cheras, Kuala Lumpur, suri rumah itu berkata, i-City menawarkan pakej percutian lengkap hanya di satu lokasi sahaja.
“Di sebelah siang, pengunjung boleh bermandi-manda sepuas-puasnya di Waterworld@i-City atau sekadar meneroka keunikan Snowalk dan Fun World.
“Seterusnya, ia diakhiri dengan kunjungan ke City of Digital Lights yang pastinya cukup mengasyikkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: