Monday, December 10, 2012

Dazrin menyampah tengok Johan


DAZRIN mengakui namanya kini dikenali ramai gara-gara membintangi drama bersiri Adam dan Hawa.


NAMA Dazrin Kamarudin, 24, sudah tentunya kurang dikenali lagi dalam industri tanah air walaupun dia sudah berlakon dalam beberapa buah filem, telemovie dan drama.
Bagaimanapun disebabkan penangan drama bersiri Adam dan Hawa yang kini sedang ditayangkan menerusi Astro Mustika HD, Dazrin yang memegang watak Johan mula dikenali ramai dan disebut-sebut.
Dazrin yang merupakan pemegang ijazah berganda Filem, Video dan Media dan Ijazah Perhubungan Antarabangsa dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat sebenarnya telah berlakon filem Seru dan Apokalips X sebelum ini.
Selain itu, drama rantaian Bicara Hati, Memberku Hawa dan telefilem Mencintaimu, Setahun Setengah Mencari Cinta dan Geisha Melayu Terakhir juga merupakan lakonannya sebelum ini tetapi belum cukup membukti kemunculannya dalam industri ini.
Watak Johan dalam drama yang diminati Adam dan Hawa sebagai lelaki yang menagih kasih dengan isteri orang telah membuka ruang seluas mungkin kepada Dazrin untuk bertapak kukuh dalam industri ini.
Ketika ditemui di majlis sidang akhbar program Astro Ria, Fear Factor Selebriti Malaysia baru-baru, Dazrin berkongsi pengalamannya selepas membawa watak Johan dalam drama Adam dan Hawa itu.
Kosmo!: Adakah ada perbezaan selepas anda dikenali menerusi watak Johan itu?
DAZRIN: Ya sudah tentu, sekarang jika keluar ramai peminat memanggil saya dengan nama Johan bukan Dazrin.
Adakah anda selesa dengan nama berkenaan atau mahu dipanggil Dazrin?
Saya tidak kisah sebenarnya, cuma pada awal-awal saya tidak biasa sebab nama saya Dazrin bukan Johan, tetapi lama-lama saya sudah dapat membiasakan diri dengan panggilan berkenaan.
Apakah yang membuatkan anda tidak selesa dengan panggilan nama Johan itu?
Ketika keluar bersiar-siar ada peminat panggil saya dengan nama Johan, saya tidak berpaling sebab tidak tahu mereka (peminat) panggil saya, sebab sudah biasa orang panggil Dazrin, sekarang saya sudah tahu peminat luar sana kenal saya dengan nama Johan.
Ada atau tidak peminat yang menyampah dengan watak anda dalam drama berkenaan?
Sudah tentu ada, ramai peminat tulis dalam laman Twitter dalam nada bergurau nak pukul saya. Saya sendiri bila tengok watak sendiri naik menyampah pun ada dengan Johan tidak sudah-sudah menagih simpati Ain (lakonan Nadiya Nissa).
Adakah selepas drama Adam dan Hawa, anda rasa mula dikenali dan mendapat banyak tawaran berlakon?
Memang saya sudah rasa penangan berlakon drama itu, sehingga aoabila habis menjalani penggambaran Fear Factor Selebriti Malaysia di Afrika Selatan baru-baru ini. saya terus kena pergi mesyuarat untuk beberapa produksi yang hendak ambil saya berlakon.
Adakah tawaran itu untuk berlakon filem atau drama?
Kedua-duanya ada dan kali ini saya ditawarkan watak utama, sebelum ini hanya watak sambilan, di situ saya sudah nampak kepercayaan yang diberikan kepada saya.
Apakah perkembangan anda selepas ini?
Saya akan muncul dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia pada 29 Disember nanti dan akan bergandingan dengan pelakon Hairul Azreen. Selain itu saya juga bakal memulakan penggambaran sebuah filem bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: