|
|
AJAL dan maut serta jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Mungkin itu ungkapan paling sesuai diberikan kepada pelakon yang terkenal dengan imej seksi suatu ketika dahulu, Wilma Muhammad.
Setelah mendirikan rumah tangga bersama seorang juruterbang, Mahir Effendi pada tahun 2000, pelakon tersebut terpaksa menerima hakikat kehilangan suami tercinta yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Januari tahun lalu.
Bagaimanapun, status ibu tunggal pelakon yang pernah membintangi filem Ghazal Untuk Rabiah dan Pasrah itu ternyata tidak lama apabila kini kembali bergelar isteri setelah mendirikan rumah tangga pada 16 Jun lalu.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Ratu By Ezuwan Ismail yang menyaksikan Wilma menjadi duta butik muslimah tersebut sekali gus model di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas pelakon berusia 39 tahun itu mengakui dia sudah berkahwin semula.
Kosmo!: Sudah lebih setahun Wilma memegang status ibu tunggal, tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti arwah suami?
WILMA: Baiklah, saya ingin menyatakan sekarang yang saya sudah pun berkahwin semula dan kembali bergelar isteri sudah lima bulan. Saya akui memang ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini.
Kenapakah anda tidak menghebahkan atau memberitahu cerita mengenainya atau mengundang rakan-rakan wartawan ke majlis perkahwinan tersebut?
Sebenarnya saya langsung tidak berniat untuk menyorokkan cerita mengenai perkahwinan kedua ini memandangkan tiada yang bertanya. Jadi, seperti pada majlis ini, apabila wartawan bertanya, saya berterus terang yang saya kini sudah pun mendirikan rumah tangga semula.
Mengenai undangan sewaktu majlis perkahwinan pula kami hanya membuat secara kecil-kecilan sahaja dalam satu majlis yang cukup ringkas. Lagipun keluarga suami saya juga ada meminta supaya tidak menghebahkannya kepada umum.
Jadi, siapakah lelaki yang bergelar suami anda kini?
Buat masa sekarang saya tidak dapat mendedahkan mengenai identitinya kerana itu merupakan permintaan suami. Namun dia tidak menghalang kalau saya memberitahu kepada umum yang saya sekarang sudah kembali bergelar isteri. Saya cuma boleh cakap yang suami saya itu berusia lewat 40-an dan bujang. Dia menjalankan perniagaan sendiri dan hanya orang biasa yang tidak mempunyai sebarang gelaran sama ada Datuk atau Tan Sri.
Bagaimana anda boleh berkenalan dengan suami?
Saya berkenalan dengan suami sewaktu saya bekerja di sebuah syarikat perniagaan emas sebagai Eksekutif Pemasaran. Kami telah diperkenalkan oleh seorang rakan dan setelah beberapa bulan berkawan, akhirnya kami membuat keputusan untuk berkahwin.
Sepanjang tempoh bergelar ibu tunggal dan sebelum mendirikan rumah tangga dengan suami sekarang, adakah anda ada berkawan dengan mana-mana lelaki?
Tidak dinafikan sepanjang tempoh tersebut memang ada beberapa orang lelaki yang cuba mendekati saya, tetapi kebanyakannya merupakan suami orang dan saya belum bersedia mendirikan rumah tangga semula pada waktu itu. Pintu hati saya terbuka untuk kembali berkahwin setelah berkenalan dengan suami dan melihat keikhlasannya untuk memperisterikan saya. Lagipun bekas ibu mentua saya turut berpesan supaya mencari pengganti sekiranya bertemu dengan lelaki yang sesuai.
Setelah lima bulan mendirikan rumah tangga, adakah anda dan suami merancang untuk memperoleh anak lagi?
Perkara ini memang telah dibincangkan dan kami sepakat untuk tidak menambah cahaya mata memandangkan saya sendiri sudah pun memiliki lima orang anak. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada rezeki dan kalau ditakdirkan saya mengandung, kami akan terima dengan hati terbuka.
Bagaimana pula hubungan anda dengan keluarga bekas mentua?
Sehingga sekarang hubungan kami masih lagi erat, malah suami saya juga sangat baik dengan keluarga bekas mentua. Sehingga mereka anggap suami saya sebagai anak sendiri memandangkan bekas suami saya dahulu merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?
Buat masa ini saya telah pun dilantik sebagai duta kepada butik Ratu dan akan memperagakan produk-produk yang dijual di butik tersebut. Selain itu saya juga pernah membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan menerusi filem 1945, tetapi filem tersebut tidak jadi dihasilkan. Kalau diikutkan saya masih lagi minat untuk berlakon dan suami juga memberi sokongan sekiranya saya ingin berkecimpung dalam lakonan. Cuma sekarang ini saya banyak menjadi model untuk memperaga busana muslimah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: