MERIAH...suasana di laluan Grand Canal ketika berlangsung perlumbaan perahu panjang dengan penyokong bersantai sambil memberi sokongan.
Siapa tak kenal Venice? Bandar gugusan lebih 100 pulau kecil yang dikatakan menarik kunjungan hampir 20 juta pelancong setiap tahun dan pelbagai gambaran indah dilabelkan kepadanya.
Ada yang menggelarnya kota romantis, bandar bawah air, desa bulan madu dan sebagainya. Jadi, tidak hairan hati membuak-buak untuk menjejakkan kaki ke situ sebaik saja perancangan untuk ke sana dibuat ketika penulis ke Marseille, Perancis baru-baru ini.
“Boleh ke kami pergi ke Venice pada waktu ini?” tanya penulis kepada pelayan restoran, biarpun badan ketika itu penat selepas menempuh perjalanan lebih lima jam dari bandar pelabuhan, Genova yang menjadi destinasi kami sebelum itu.
Bagaimanapun, jawapan diterima mengecewakan. Katanya, memang tiada larangan untuk ke Venice pada waktu malam, tapi tak berbaloi berbuat demikian.
Ini kerana, pada malam minggu, laluan ke sana sejauh 14 kilometer dari Mestre sesak. Lagi pun, tiada kenderaan dibenarkan masuk ke Venice. Untuk meneroka Venice, anda hanya boleh berjalan kaki atau menaiki kenderaan air.
“Jadi, lebih baik anda balik tidur dulu di hotel, rehatkan badan dan esok pergilah ke sana dan nikmatilah keindahan Venice sepuas-puasnya.
“Anda perlukan rehat yang cukup kerana sehari suntuk pun belum tentu anda sempat melawat semua pulau di situ,” kata pelayan restoran.
Nasihatnya kami patuhi. Esoknya, jam 9 pagi, kami melangkah keluar menuju ke perhentian bas awam yang terletak cuma 300 meter dari hotel. Tiket bas berharga empat euro (RM16) seorang dibeli di hotel dan tepat jam 9.15 pagi, bas tiba sebagaimana dijadualkan.
Perjalanan ke Venice tak sampai setengah jam dan nyata menginap di puluhan hotel di Mestre sebelum menaiki bas awam ke Venice adalah pilihan terbaik pelancong untuk menjimatkan belanja.
Ini kerana kadar sewa hotel di Mestre cuma sekitar 150 euro (RM600) satu malam, berbanding antara 400 euro (RM1,600) dan 500 euro (RM2,000) untuk hotel di tengah kota Venice.
Tidak lama kemudian, bas melalui jambatan sejauh empat kilometer yang memisahkan Venice dengan tanah besar dan di penghujung jambatan ada satu kawasan meletak kenderaan yang luas sebelum bas berhenti di terminal.
Sejurus turun dari bas, dengan berbekalkan peta di tangan, kami mula berjalan kaki untuk meneroka keunikan Venice. Sebagai permulaan, kami melintasi dua jambatan kecil yang merintangi terusan, seolah-olah pintu masuk untuk kami memulakan perjalanan.
“Kita nak ke mana dulu?” tanya Anas. Ayahnya, Mustapha dan ibunya, Che Khatijah, hanya mendiamkan diri.
“Kita cari tempat di mana nak naik gondola. Itu yang penting,” kata penulis. Ya, apa guna ke Venice kalau tidak menaiki gondola atau sampan dikayuh lelaki memakai kemeja T berbelang-belang.
Ketiga-tiga mereka bersetuju. Masalahnya, arah mana yang patut kami tuju? Laluan di Venice adalah ribuan lorong kecil di celah bangunan lama yang dibina lebih 500 tahun lalu.
Lebar lorong itu, paling besar lima meter dan ada yang kurang daripada dua meter. Untuk tidak memeningkan kepala, kami berjalan ‘mengikut arus’ - maknanya di mana ramai orang lalu, di situlah laluan pilihan kami.
Dalam perjalanan di celah-celah ribuan pelancong dari seluruh dunia itu, tersergam di kiri dan kanan kami adalah bangunan lama yang dipulihara dengan baik, sama ada rumah kediaman, hotel, deretan kedai mahupun gereja.
Selepas hampir dua jam berjalan kaki, bayang gondola pun belum kami jumpa, sedangkan kedua-dua tangan penuh dengan bungkusan plastik mengandungi cenderamata yang dibeli di gerai sepanjang perjalanan.
Memandangkan perut sudah berbunyi meminta diisi, kami mencari kedai makan yang sesuai sebelum terpandang satu gondola di sebatang terusan kecil di tepi sebuah restoran.
Ditanya berapa tambang untuk kami berempat menaiki gondola, jawapannya 100 euro (RM400). Kami menolak, bukan harga yang menjadi persoalan, tapi meluat dengan sikap pendayungnya yang langsung tak mesra pelancong.
“Tak kan dia seorang saja, mesti ada ramai lagi. Cuma kita belum jumpa tempatnya,” kata Mustapha, abang penulis.
Telahan kami benar. Kira-kira 15 minit perjalanan selepas itu, kami tiba di jeti besar Grand Canal dan di situ berbaris hampir 20 gondola yang bersedia membawa pelancong.
Kebetulan ketika itu berlangsung perlumbaan kenu dan perahu panjang (seperti perahu naga) dan suasana sekitar Grand Canal sungguh meriah dengan pengunjung memenuhi di kiri dan kanan terusan.
Biarpun perlumbaan masih berlangsung, pengunjung tidak dihalang menaiki gondola dan kami memilih gondola dikendali lelaki berusia sekitar 60 tahun yang mahu dikenali dengan panggilan Phiphi.
Dia begitu ramah memberi penerangan serba ringkas mengenai Venice, terutama sejarah beberapa bangunan yang kami lewati.
Kata Phiphi, hanya pengangkutan air dibenarkan di Venice dan menaiki gondola sepanjang terusan, terutama Grand Canal, menjadi cara terbaik untuk melihat Venice secara umum.
“Untuk meneroka seluruh Venice, anda perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari atau mungkin tiga hari kerana ada 177 saluran besar dan kecil yang perlu anda lalui.
“Kalau tak mampu berbuat demikian, menyusuri Grand Canal sepanjang lebih tiga kilometer sudah mencukupi,” kata Phipi.
Menurutnya, ada 170 bangunan bersejarah di kiri dan kanan yang dibina antara abad ke-13 hingga 18 dengan reka bentuk istimewa.
“Kebanyakan bangunan itu dulunya kediaman mewah keluarga bangsawan dan dinamakan palazzo atau istana. Antara yang terkenal ialah Rio de Palazzo, Palazzo Barbarigo, Palazzo Ca’ Foscari dan Palazzo Vennier dei Lonni,” katanya.
Kami kemudian menyusur di bawah Jambatan Rialto, jambatan tertua di laluan Grand Canal. Dibina pada abad ke-9, di hujung kiri dan kanan ada deretan gerai makan, cenderamata serta barangan keperluan harian penduduk setempat.
“Ada kira-kira 400 jambatan di seluruh Venice,” kata Phiphi.
Kami mengakhiri perjalanan kira-kira sejam dengan kembali ke jeti utama di Grand Canal. Biarpun hati ketika itu membuak-membuak untuk terus berjalan kaki meneroka Venice, hasrat itu terpaksa dibatalkan.
Ini kerana kami perlu kembali ke stesen bas untuk menaiki bas yang dijadualkan pada jam 5 petang dan berehat secukupnya bagi mengharungi perjalanan jauh pulang ke Marseille.
Di dalam bas untuk pulang ke hotel, teringat semula kata pelayan restoran memang benar, mungkin tiga hari baru cukup untuk menjelajah seluruh Venice.
Persoalannya, akan adakah peluang untuk penulis pergi lagi ke situ?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: