Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 20, berkata, segala tunjuk ajar dan bimbingan daripada Allahyarham yang bertanggungjawab memperkenalkannya di persada seni terus menjadi inspirasi buat dirinya kini.
“Alhamdulillah, saya semakin kuat dan berani pada hari ini. Segala tunjuk ajar dan kata-kata perangsang Allahyarham akan terus jadi pegangan saya untuk berjuang dalam bidang seni.
“Saya sudah kurang segan dan malu berbanding sebelum ini. Saya perlu ubah sikap pemalu dan lebih banyak berbual dengan rakan-rakan pelakon dan penggiat industri untuk terus maju,” katanya ketika ditemui mStar Online di Anugerah Skrin (ASK) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam Jumaat lalu.
Pada acara itu, Syafie diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi karya arahan Fariza Azlina Ishak dan Effendee Mazlan berjudul Songlap.
Sebelum ini, Syafie pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Ilham Suci pada ASK2007.
Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Mukhsin ini berkata, kemenangan buat kali kedua di pentas ASK itu ditujukan khas buat ibu bapa, Allahyarham dan beberapa individu terpenting dalam hidupnya.
“Kemenangan ini saya tujukan buat kedua ibu bapa saya. Kini inspirasi saya dalam seni iaitu Yasmin Ahmad sudah tiada tapi saya mahu anugerah ini didedikasikan kepada beliau.
“Saya juga mahu ucap terima kasih kepada beberapa individu terpenting seperti kak Nani (Sharifah Amani) dan keluarganya, ibu Azean (Irdawaty) dan kak Sherry Merlis yang sentiasa memberikan bimbingan dan dorongan,” katanya.
Syafie berkata, dia juga tidak menafikan perasaan bimbang dengan jangkaan penonton yang lebih besar terhadapnya ekoran kemenangan itu. Namun, katanya, dia akan berusaha untuk memberikan kualiti lakonan yang lebih baik pada masa akan datang.
Terbaru, aktor yang baru menamatkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ini bakal memulakan penggambaran telefilem arahan Michael Ang untuk saluran Astro Prima tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: