
INILAH lima anggota asal Raihan yang
menjadi peledak fenomena nasyid pada pertengahan tahun 90-an (dari
kiri) Allahyarham Azahari Ahmad, Che Amran Idris, Nazrey Johani,
Amran Ibrahim dan Abu Bakar Mohd. Yatim.
SURAM. Mungkin itulah gambaran yang paling tepat diberikan kepada muzik nasyid tempatan mutakhir ini.
Tahun 1996 hingga 2005 merupakan era kegemilangan muzik nasyid tempatan bermula dengan kemunculan kumpulan Raihan, Hijjaz, Rabbani, In-Team, Unic, NowSeeHeart dan banyak lagi. Bagaimanapun, nama-nama tersebut semakin jarang kedengaran.
Jika dulu, pelbagai lagu nasyid menjadi siulan anak-anak muda kerana kerap kali diputarkan di corong radio dan televisyen, kini demam K-Pop jauh mengatasi fenomena nasyid tempatan.
Malah, jika dilihat pelantun lagu nasyid dari luar negara juga diberi sambutan lebih meriah berbanding kumpulan nasyid tanah air.
Adakah muzik nasyid tempatan hari ini semakin hilang taring dan tidak lagi mendapat tempat di hati peminat?
"Suram bukan kerana tiada lagi kumpulan-kumpulan baharu yang memeriahkan arena nasyid tanah air, tetapi kesuraman itu berlaku kerana kita kurang dari segi publisiti," kata Isman Nadim Isam yang merupakan ketua kumpulan Hijjaz ketika dihubungi baru-baru ini.
Kata Isman, genre tersebut yang membawakan lagu-lagu spiritual, motivasi dan inspirasi sebenarnya cukup meriah dalam kalangan pencinta nasyid.
Bagaimanapun akui beliau, hanya beberapa kumpulan nasyid yang dikenali umum kini antaranya Raihan, Rabbani, Hijjaz dan In-Team.
Dipintas artis luar
Adakah kemunculan artis-artis luar seperti Maher Zain dan Sami Yusuf menjadi punca artis nasyid tempatan ketandusan populariti?
Isman tidak melihat perkara tersebut sedemikian, sebaliknya beliau menyifatkan kehadiran artis nasyid luar suatu perkembangan positif kerana ia mengembalikan semula ingatan orang ramai kepada muzik genre nasyid.
"Kita perlu lihat perkara ini dari sudut positif. Kehadiran mereka akan membuatkan lebih ramai khalayak tidak kira latar belakang mengenali irama nasyid.
"Benar, artis-artis luar negara yang sealiran lebih menonjol berikutan publisiti meluas yang diberikan kepada mereka, tetapi jujurnya vokal mereka biasa-biasa sahaja," katanya sambil menyifatkan artis nasyid tanah air mempunyai kualiti yang setaraf dengan artis antarabangsa, malah lebih baik.
Sebagai contoh, Konsert Bahasa Terindah menampilkan Opick, Mu'adz Dzulkefly, Mawi dan Hijjaz berlangsung di Esplanade, Singapura pada 7 September lalu telah mendapat sambutan hangat.
Mungkin ramai yang tidak sedar nasyid, lagu-lagu berunsurkan ketuhanan, dakwah dan sealiran dengannya membantu pembentukan sahsiah kehidupan anak-anak muda.
"Kita mahu lahirkan generasi muda berketerampilan, penuh nilai-nilai murni jauh daripada masalah sosial yang kian meruncing, tetapi ada stesen-stesen radio dan saluran televisyen melakukan sebaliknya.
"Kenapa ia dibenarkan? Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu lakukan sesuatu untuk mengawal kandungannya. Adalah lebih baik memberikan dana berbentuk geran kepada pengkarya muzik seperti kami bagi meningkatkan siasah anak-anak muda kini melalui hiburan pembentukan jiwa," ujarnya.
Kata Isman lagi, stesen radio khusus seperti IKIM.fm sahaja tidak cukup jika tidak disokong dengan alternatif lain.
"Bukanlah tidak ada sokongan langsung tetapi ia hanya ketara pada musim tertentu seperti ketika sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan sebagainya," jelas Isman.
Sungguhpun begitu, Isman memuji langkah Kementerian Belia dan Sukan yang memberi ruang kepada kumpulan-kumpulan nasyid turut sama dalam aktiviti-aktiviti melibatkan belia.
Dalam pada itu, Wan Mohd. Farhan Wan Zakaria, 24, yang meminati nasyid berkongsi pendapat serupa dengan Isman.
Bekas vokalis kumpulan nasyid Universiti Putra Malaysia, Nahwan Nur pula berpendapat, nasyid di Malaysia sudah semakin berkembang, cuma ia tidak dipromosikan oleh media cetak dan elektronik.
"Bagi saya, lagu-lagu yang dibawa oleh Maher Zain mempunyai kekuatan dari segi melodi yang menarik perhatian pendengar, senang dihafal, santai dan universal.
"Ini bukan bermakna saya tidak menghargai nasyid tempatan. Artis-artis nasyid kita ramai yang bagus. Mereka hanya dikenali dalam kelompok peminat mereka sendiri iaitu dalam kalangan penuntut universiti dan pelajar sekolah," katanya.
Baginya, penciptaan lagu dan kualiti vokal yang dihasilkan oleh penggiat nasyid di negara ini sangat membanggakan.
"Mungkin label nasyid yang digunakan menyebabkan kumpulan nasyid di negara ini tidak mampu menembusi pentas antarabangsa.
"Sebaiknya jangan melabelkan muzik dan bawa imej lebih universal asalkan ia tidak keluar daripada landasan Islam," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: