Stacy
Stacy
JUARA Akademi Fantasia Musim Keenam, Stacy berjaya memperolehi antara markah tertinggi untuk dua lagunya dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik bahagian pertama malam semalam berharap kedua-dua lagunya itu berjaya terpilih Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) Januari depan.
Lagunya Pelangi Senja hasil ciptaan Taja dan lirik oleh Tun Teja serta lagu Kasanova ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim berjaya meraih perhatian juri sekali gus memberikan peluang kepada anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini mara ke peringkat akhir.
Mengakui bahawa kedua-dua lagu itu mempunyai kekuatan tersendiri, Stacy tetap berharap kedua-dua lagu itu terpilih.
“Mudah-mudahan kedua-duanya dapat ke peringkat akhir.
“Walaupun lagu Pelangi Senja itu berkonsep berbeza daripada lagu Kasanova, saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu itu.
“Kalau kedua-dua lagu rancak, mungkin saya akan menghadapi sedikit masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Tambahnya,, dia memang menyukai lagu rancak kerana ramai peminatnya suka melihat dia menari.
Sementara itu, pendatang baru, Asmidar yang merupakan pemenang Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama pula mengakui tidak berani meletakkan harapan terlalu tinggi untuk melangkah ke final memandangkan peserta-peserta lain yang bertanding juga cukup kuat.
“Siapa tidak mahu ke final, tetapi dapat terpilih ke separuh akhir semalam pun saya sudah cukup bersyukur.
“Bakat dan kekuatan yang dimiliki penyanyi berpengalaman seperi Hafiz dan Shila Amzah juga saya lihat mampu memberikan saingan sengit dalam pertandingan ini,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, jika lagunya Biar Mimpi Sampai ke Bintang hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Transformers Melayu berjaya terpilih ke peringkat akhir, Asmidar sendiri sudah memikirkan idea untuk persembahan.
Ujarnya, bagaimanapun semua itu terpulang kepada hasil perbincangan dengan Ajai kelak.
Semalam, sebanyak enam lagu  daripada 11 lagu yang dipertandingkan pada pusingan pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik layak untuk ke peringkat penilaian juri sebelum bertarung menguasai AJL27.
Walaupun enam lagu itu dipilih sebagai lagu terbaik, tetapi lagu-lagu berkenaan perlu berentap lagi kerana hanya 12 daripada 30 lagu yang dapat markah tertinggi akan ke final.
Selain lagu Pelangi Senja, Kasanova dan Biar Mimpi Sampai ke Bintang, tiga lagu lagi yang terpilih ialah Idola (Azlan and The Typewriter), Cerita Dia (Drama Band) serta Watak (Hafiz).
Lima lagu lain yang dipertandingkan malam semalam ialah Aku Datang (Tomok), Aku Suka Dia (Ainan Tasneem), Jerrypah (Aizat), Majnun (Hazama) dan Pencinta Terbaik (Sofaz).
Saringan untuk ke final AJL27 ini menampilkan 30 lagu dipertandingkan dalam tiga pusingan.
Sementara itu, bahagian kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik  akan berlangsung pada 18 November pada jam 9 malam dan bakal menyaksikan enam lagi lagu terbaik pilihan juri akan dipilih sebelum melangkah ke pusingan akhir.
Antara lagu yang akan dipertandingkan termasuklah Anak Kampung (One Nation Emcees dan Jimmy Palikat), Terukir Di Bintang (Yuna), Angkasa (Diandra Arjunaidi), Tanpamu (Amir Jahari) dan  Sesaat Kau Datang (Ramlah Ram dan Sleeq).
Turut bertanding, lagu Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Terlalu Mencintaimu (Suki), Tapi Bagaimana (Spider), Sebelah Jiwaku (Jaclyn Victor) dan Lagu (Bedroom Sanctuary).
Bagaimanapun lagu Beginilah Caranya nyanyian asal pelakon Shaheizy Sam dan Yana Samsudin sudah menarik diri dan digantikan dengan lagu nyanyian Nera yang berjudul Hatimu Milikku.
Juri yang mengadili pertandingan itu terdiri daripada Ramli MS, Che Kam, Helen Yap, Cat Farish, Damian Mikhail Seet, Edrie Hashim dan Azmeer selaku ketua juri.
Bahagian ketiga akan diadakan pada 25 November di lokasi yang sama bermula pada jam 10 malam dan merupakan malam kemuncak apabila kesemua 12 finalis yang layak ke anugerah berprestij itu bakal diumumkan oleh kedua pengacara serasi Faiz dan Chad.