Lebih daripada itu, kata-kata yang sama juga sudah pernah dilontarkan selama 50 tahun sejak francais filem ejen perisik British ciptaan Ian Fleming itu mula-mula dihasilkan pada 1962 dengan judul Dr No.
Semuanya bermula dengan Sean Connery sebagai Bond, diikuti George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Craig. Siapa boleh lupa dengan judul-judul seperti From Russia With Love, You Only Live Twice, Moonraker, The Spy Who Loved Me, Licence To Kill, The Living Daylight dan Tomorrow Never Dies.
Tahun ini, sekali lagi Craig meneruskan lagi legasi 007 menerusi Skyfall siri yang ke-23. Tugas pengarahan yang penting itu kini julung kali diserahkan ke tangan sutradara Sam Mendes (pengarah ke-15) dan turut menampilkan Ralph Fiennes, Javier Bardem, Naomie Harris, Berenice Marlohe (kacukan Kemboja-Perancis) serta Ben Whishaw.
Selain Craig yang kekal, aktres veteran Judi Dench juga masih wujud sebagai M (kemunculan ketujuh dalam siri Bond) dan percayalah bahawa kali ini Bond Girls seakan tidak penting lagi apabila buat pertama kalinya M menjadi sangat penting.
Kenapa M mahupun judul Skyfall menjadi terlalu penting? Itulah yang peminat filem perlu lihat sendiri untuk membongkar apakah segala rahsia yang tersembunyi dalam filem yang dianggap sebagai antara yang terbaik dalam sejarah filem James Bond.
Harian Metro bertuah kerana turut diundang menyertai sesi wawancara Skype dengan pengarah dan barisan pelakon utama Skyfall dari Pinewood Studios, London, yang diaturkan Sony Pictures International Releasing, baru-baru ini.
Bercakap dalam nada teruja, Mendes, 47, yang sebelum ini pernah mengarah filem hebat seperti American Beauty dan Road to Perdition berkata, dia sudah melakukan yang terbaik kepada filem itu kerana memikirkan tanggungjawab yang besar diserahkan kepadanya oleh pihak produser.
“Memandangkan ini kali pertama saya diberi tugas mengemudi filem James Bond, saya mahu rebut peluang keemasan ini dan melakukan dengan sebaik mungkin.
Apatah lagi produksi kali ini memasuki tahun penerbitan ke-50, saya mahu hadiahkan sesuatu yang istimewa kepada penonton setia Bond.
“Saya gembira kerana penggambaran berjalan lancar di setiap lokasi termasuk di Turki dan China. Saya gembira kerana Daniel, Javier, Judi dan semua pelakon lain memberikan komitmen yang terbaik kepada filem ini. Memang sudah menjadi impian saya untuk bekerja dengan Judi dan Daniel,” kata Mendes yang juga bekas suami aktres Kate Winslet.
Bagi Craig, 44, sendiri, jalan cerita Skyfall membuatkan dia teruja untuk membintangi filem ini kerana ia cukup berbeza berbanding filem Bond sebelumnya.
“Saya tidak boleh bercerita secara mendalam mengenai filem ini namun ada sesuatu yang baru mengenai Bond dan M yang perlu anda saksikan sendiri. Saya juga gembira kerana produksi ini memasuki ulang tahun ke-50 dan tentunya produser dan Sam ingin menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada anda (penonton).
“Terus terang saya sangat percayakan kemampuan Sam sebagai pengarah. Saya yakin dia mampu mencurahkan segala pengalamannya selama ini ke dalam filem ini,” ujar Craig yang dilaporkan sudah menyambung kontrak untuk dua lagi filem Bond akan datang. Sebelum ini dia muncul dalam filem The Girl with the Dragon Tattoo.
Bagi Naomie Harris, 36, pula, dia akui cukup bertuah kerana terpilih menjadi salah seorang daripada dua Bond Girls dalam Skyfall.
“Eve seorang wanita yang bijak, berdikari, lucu tetapi berani. Dia tidak takut untuk berdiri dalam situasi yang getir di sisi Bond. Peluang berlakon watak ini memberi peluang untuk saya menonjolkan sisi berbeza personaliti diri saya,” kata Harris dengan petah. Dia memang suka tersenyum dan dikenali dengan salah satu filem Pirates of the Caribbean.
Skyfall yang menampilkan suara Adele dalam lagu tema, dibuka dengan babak mencemaskan apabila Bond bertarung dengan seorang musuh yang sangat licik di Istanbul. Babak yang mendebarkan itu disempurnakan dengan hebat sekali di atas gerabak keretapi yang sedang bergerak di satu lereng gunung. Dalam pergelutan itu, Bond tertembak selepas tembakan oleh itu dilepaskan oleh rakan setugasnya, Eve Moneypenny (Naomie Harris) - atas arahan terdesak M sendiri.
Seterusnya Bond dilaporkan ‘mati’ namun akhirnya muncul semula di depan M selepas beberapa lama memencilkan diri. Bond terpanggil untuk berjumpa M semula selepas melihat ibu pejabat majikannya, MI6, di tengah-tengah kota London, dibom pengganas.
M dalam keadaan berbelah bagi apabila melihat keadaan fizikal Bond yang terjejas akibat kecederaannya itu, tetap nekad memberikan tugasan terbarunya untuk memburu kumpulan pengganas itu yang diketuai Raoul Silva / Tiago Rodriguez (Javier Bardem).
Tugas Bond itu juga memaksa dia ‘terbang’ ke Shanghai serta Macau, China dan seterusnya kembali ke England dan akhir sekali menuju ke bumi Scotland. Namun dalam misinya dia dibantu oleh Q (Ben Whishaw) yang bijak dengan inovasi gajetnya.
Siapakah sebenarnya Silva dan mengapakah dia bertukar menjadi pengganas yang psiko, licik, pendendam dan tidak berperikemanusiaan? Semua jawapan itu ada untuk anda cari dalam Skyfall yang kini mula ditayangkan di pawagam berdekatan.
Skyfall diterbitkan Michael G Wilson dan Barbara Broccoli dengan bajet yang dianggarkan mencecah AS$150 juta (RM450 juta). Ia edaran Metro-Goldwyn-Mayer bersama Columbia Pictures.
Sementara itu, stesen ntv7 turut menganjurkan bulan filem Bond dengan menayangkan karya menarik sejak 7 Oktober lalu melalui slot Sunday Movies, jam 11 malam.
Pada 4 November ini, filem Casino Royale akan ditayangkan. Selain itu ntv7 juga menganjurkan Tayangan Gala Skyfall pada 30 Oktober lalu di The Curve, Damansara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: