Thursday, November 22, 2012

Saya tidak gagal - Usop Wilcha


USOP mempunyai sebab tersendiri kenapa dia meninggalkan Hot FM biarpun kontraknya dengan stesen radio tersebut hanya tamat pada Jun 2013.


POPULARITI pelakon komedi Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail atau lebih sinonim dengan gelaran Usop Wilcha meningkat naik menerusi filem lakonannya, Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Gara-gara populariti dengan gelaran tersebut menerusi karakter yang dibawakan dalam filem berkenaan, Usop kemudian menerima lamaran menjadi penyampai radio di stesen radio Hot FM.
Dia mula bertugas di Hot FM pada Jun 2011 dengan mengikat kontrak selama dua tahun sehingga Jun 2013.
Namun begitu, jodoh Usop, 47, bersama stesen radio tersebut tidak panjang apabila dia mengambil keputusan menamatkan kontraknya itu setelah lebih setahun mengendalikan segmen Hot FM AM Krew bersama Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.
Usop yang ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Kahwin 5 di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini menjelaskan, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan dia mengambil keputusan sedemikian.
Kosmo!: Kenapakah Usop secara tiba-tiba mahu meninggalkan Hot FM sedangkan kontrak belum tamat?
USOP: Sebenarnya ini bukanlah keputusan yang dibuat secara tiba-tiba kerana saya sudah berhasrat untuk berhenti dua bulan lalu, namun saya baru sahaja menghantar surat penamatan kontrak awal bulan ini. Kalau ikut kontrak, tugas saya akan berakhir pada Jun 2013. Kalau diikutkan memang agak berat saya buat keputusan ini, tetapi antara sebab utama saya tidak mahu lagi menjadi penyampai radio kerana faktor usia dan masa yang tidak mengizinkan.
Bolehkah Usop jelaskan dengan lebih lanjut tentang sebab-sebab yang dinyatakan itu?
Tahun ini usia saya sudah mencecah 47 tahun dan tidak mampu lagi untuk melakukan banyak kerja dalam satu masa. Sebagai contohnya, saya terpaksa tidur awal sebelum pukul 11 malam dan bangun seawal pukul 4 pagi. Kemudian pada masa yang sama saya juga menerima tawaran berlakon sehinggakan jadual harian saya sangat padat. Disebabkan itu, saya pernah mengalami demam selama seminggu selepas selesai menjalani penggambaran filem Kahwin 5.
Selain itu, saya juga mahu meluangkan masa lebih banyak dengan keluarga memandangkan saya sentiasa sibuk. Adakalanya selepas selesai tugas di konti saya akan bergegas ke lokasi penggambaran atau menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh Hot FM.
Apakah komen Usop apabila ada persepsi segelintir pihak yang akan menganggap penyertaan anda gagal memberi impak kepada Hot FM?
Saya tiada hak untuk menghalang sebarang persepsi orang terhadap pengunduran ini kerana mereka tidak berada dalam situasi saya sekarang. Lagipun, saya tidak pernah melihat ia merupakan satu kegagalan kerana saya ada sebab tersendiri yang membuatkan saya tidak dapat lagi meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio.
Adakah Usop menyesal menerima tawaran menjadi penyampai radio sebelum ini?
Sudah tentu saya tidak menyesal kerana sekurang-kurangnya saya sudah memperoleh serba sedikit pengalaman terbabit dengan dunia penyiaran radio.
Jadi, apakah perancangan Usop pada masa akan datang?
Selepas ini saya akan memberikan sepenuh tumpuan kepada bidang lakonan memandangkan peminat terlebih dulu mengenali saya sebagai pelakon. Apatah lagi nama Usop Wilcha ini juga adalah hasil daripada karakter saya dalam filem dan menerusi nama itu yang membuatkan diri saya popular dan dikenali ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: