Pub yang menjadi tumpuan warga Myanmar.
Pub yang menjadi tumpuan warga Myanmar.
Minuman keras yang dijual tanpa permit turut dirampas.
Minuman keras yang dijual tanpa permit turut dirampas.
PETALING JAYA – Sebuah restoran dan pub yang menjadikan anjing sebagai makanan utamanya disita dalam serbuan anggota Balai Polis Damansara Utama dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, awal pagi semalam.

Serbuan yang diketuai, Ketua Balai Cif Inpektor Mohd Zul Azri Abdul Rashid itu berjaya menahan tujuh warga Myanmar yang sedang leka menikmati minuman keras di premis tidak berlesen itu yang beroperasi di tingkat dua bangunan rumah kedai di Jalan SS 21/56 B, Damansara Utama, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan daripada penduduk setempat yang kurang senang dengan sikap pengunjung restoran itu yang mabuk dan membuat bising pada pada awal pagi.

“Tindakan pernah diambil setahun lalu namun premis terbabit masih berdegil menyebabkan  tindakan diambil sekali lagi,” katanya.

Ke semua warga asing ditahan akan diperiksa, manakala yang tiada dokumen pengenalan diri akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, pub itu popular dalam kalangan warga Myanmar apabila ada di antaranya yang datang dari jauh semat-mata mahu menikmati hiburan di situ.

Siasatan lanjut mendapati premis tidak mempunyai lesen untuk menjual minuman keras  yang kebanyakannya diimport.

“Kesemua minuman keras yang dijual dirampas dan akan diserahkan kepada Kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, pihak MBPJ menjalankan sitaan ke atas beberapa barangan termasuk pembesar suara dan set televisyen mengikut Enakmen Pusat Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen.