Monday, November 5, 2012

Resipi untuk pesakit diabetes


AMY turut mengadakan demonstrasi memasak pengat pisang dengan menggunakan ramuan yang sihat pada majlis pelancaran buku itu.


BAGI mereka yang menghidap penyakit diabetes, segala aspek pemakanan harus dititik- beratkan terutamanya dari segi pengambilan gula dalam makanan mereka.
Disebabkan itu, mereka sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mempunyai kandungan gula rendah apatah lagi dalam hidangan pencuci mulut.
Dalam usaha untuk menggalakkan pemakanan sihat terutamanya dalam hidangan makanan pencuci mulut, syarikat farmaseutikal, MSD Malaysia (MSD) tampil dengan buku resipi yang menghimpunkan 12 jenis hidangan.
Menariknya ia dihasilkan oleh chef selebriti dan konsultan makanan, Amy Beh yang dibantu oleh pakar nutrisi, Madhavi Rai yang berjudul Celebrate-The Dessert Cookbook.
Resipi empat budaya
Pengarah Perubatan MSD, Dr. Yeoh Boon Hock memberitahu, resipi hidangan pencuci mulut yang terkandung dalam buku setebal 50 muka surat itu merupakan menu daripada pelbagai budaya dan kaum.
“Kami menggabungkan resipi daripada empat budaya berbeza iaitu Melayu, Cina, India dan Barat. Keempat-empat budaya ini sememangnya mempunyai hidangan pencuci mulut yang mengandungi kandungan gula agak tinggi.
“Namun, dengan kepakaran Amy, setiap hidangan disediakan menggunakan kuantiti bahan-bahan yang sesuai untuk hidangan pesakit diabetes,” ujarnya semasa pelancaran buku itu pada 1 November lalu.
Antara resipi yang terkandung dalam buku yang diedarkan secara percuma itu ialah pengat pisang, kek sugi, sup ginseng dan jus yogurt mangga.
Selain itu, setiap hidangan turut dinyatakan indeks glisemia (kadar glukosa), kalori, karbohidrat, serat dan gula untuk dijadikan panduan pemakanan kepada pesakit diabetes.

AMY (kiri) dan Madhavi berharap buku resipi mereka akan memberi idea baharu kepada pesakit diebetes dalam penyediaan hidangan pencuci mulut.


Pemakanan pesakit diabetes
Bagi Amy, setiap resipi mengandungi kadar gula yang bersesuaian dengan pesakit diabetes selaras dengan tema buku itu iaitu Hidup Sihat Dengan Diabetes.
“Hidangan yang kita sediakan seharusnya boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk pesakit diabetes. Menerusi setiap hidangan, saya telah cuba sedaya upaya mengurangkan penggunaan gula dan mengekalkan keenakan hidangan itu,” jelasnya.
Selain itu, Amy turut berterima kasih kepada pihak MSD kerana memberi kepercayaan kepadanya dan Madhavi untuk mengelolakan buku resipi itu.
Menurut Madhavi, dia diberi tugas untuk memantau setiap ramuan yang terkandung dalam 12 resipi yang dihasilkan oleh Amy.
“Setiap resipi juga membuka mata pesakit diabetes mengenai hidangan terbaik untuk mereka. Hidangan ini juga mengandungi empat kunci utama nutrien dalam kitaran pemakanan iaitu vitamin, mineral, protein dan serat.
“Apa yang menjadi kebimbangan pesakit diabetes ialah pengambilan karbohidrat. Menerusi hidangan ini, pesakit boleh mengambil makanan karbohidrat tetapi pengambilannya perlu dikawal,” ujarnya yang menggemari pencuci mulut ondeh-ondeh keledek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: