Friday, November 23, 2012

Potongan peplum serlah keayuan

SOPAN...kebarung dihasilkan daripada kain kasa rubia ini boleh dijadikan pilihan untuk tampil sopan.
SOPAN...kebarung dihasilkan daripada kain kasa rubia ini boleh dijadikan pilihan untuk tampil sopan.
JIKA mahu dibandingkan fesyen pilihan wanita pada zaman dulu dengan kini, jurang perbezaannya begitu ketara. Bukan saja lebih bijak memilih jenis pakaian, malah mereka juga sudah pandai bergaya.
Tidak kira sama ada pakaian kasual mahupun tradisional seperti baju kurung, trend semasa turut diselitkan agar penampilan tampak lebih segar.
  • Foto BERBEZA...padanan blaus labuh bersama kain berbentuk A memberi kelainan.
  • Foto CANTIK...kombinasi ini terletak kemas di tubuh pemakai.
  • Foto ANGGUN...koleksi yang mudah diurus dan sentiasa nampak anggun.
  • Foto MANIS...tidak perlu sarat dengan aksesori, pakaian ini menyerlahkan seri si pemakai.
Tidak percaya? Baca dan lihat saja bahan bacaan berunsur fesyen kini yang banyak memainkan gambar fesyen kegemaran remaja dan wanita berkerjaya. Hal ini secara tidak langsung turut mempengaruhi gaya pemakaian mereka.

Warna yang dipilih pula cukup berwarna-warni untuk menyerlahkan mood gembira dan ceria. Maklum saja, wanita sekarang memang ke hadapan dalam bab begini. Bak kata orang, fesyen dan wanita sukar dipisahkan.

Turut sama menerima tempiasnya ialah fesyen busana Muslimah menerusi rekaannya yang banyak dipelbagaikan, namun masih mengikut hukum syarak. Ini membuatkan si pemakai tetap kelihatan sopan dengan penampilan yang tidak melampaui batas.

Ada orang kata, jangan hadkan jenis pemakaian dan cuba pelbagaikan ia daripada segi rekaan, jenis fabrik mahupun perincian. Namun, sesuai dengan imej Muslimah sejati, anda harus beringat agar gaya yang dipilih tidak terlalu mencolok mata.

Menurut pengusaha butik secara dalam talian, Faizura Khalid, 24, selain baju tradisional misalnya baju kurung, kebarung dan kebaya, kaum wanita mula pandai menggabungkan beberapa gaya dalam satu jenis pakaian.

“Dalam pemerhatian saya, musim ini rekaan menarik yang banyak digunakan ialah baju kurung moden berpotongan peplum yang diserlahkan pada potongan kembar berstruktur.

“Gaya ini cukup manis dan memberi dimensi siluet badan yang menarik. Gaya peplum ini boleh dibuat dalam bentuk labuh atau singkat, mengikut kesesuaian si pemakai, tetapi ramai yang gemarkan rekaan melepasi bahagian punggung.

“Saya juga tidak terkecuali meminati gaya ini dan mencubanya terlebih dulu sebelum menjualnya kepada pelanggan. Daripada segi fabrik, saya lebih gemar memilih yang polos atau memiliki tekstur untuk menjadikannya sedikit kembang,” katanya.

Kemudian, perincian yang agak timbul atau ketara seperti manik, batuan kristal dan tampalan sulaman kain renda juga boleh menyemarakkan lagi rekaan berkenaan.

Padanan corak seperti bahagian baju terdiri daripada polos dan kain bercorak bunga juga tidak lapuk ditelan zaman. Apa yang penting, anda mesti berkeyakinan, pilih padanan yang sesuai dengan jiwa dan identiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: