
AKSI Rina Bayu ketika menyertai sesi uji bakat Soulstar 2012 di Dewan Masyarakat Serian dekat Kuching baru-baru ini.
KUCHING - Kesemua 24 finalis program Soulstar 2012 akan memberikan persembahan terbaik selain mengatasi tekanan serta cabaran pada konsert pertama yang berlangsung petang ini di Panggung Budaya, Kampung Budaya Sarawak di sini.
Seorang daripada mereka, Rina Bayu Adilana Anak Jimmy, 18, berkata, dia telah membuat persedian rapi bagi menghadapi cabaran pada konsert pertama yang menggunakan tema dan konsep persembahan bebas.
"Banyak ilmu ditimba di dalam kelas sejak seminggu lalu dan tenaga pengajar juga banyak membantu saya dalam membuat persediaan menghadapi konsert minggu pertama ini.
"Setakat ini, persediaan berjalan lancar tetapi tekanan sebenar adalah pada persembahan nanti ketika berhadapan dengan para juri dan penonton," ujar gadis itu yang mesra dengan panggilan Bayu ketika dihubungi semalam.
Bayu yang akan tampil mendendangkan sebuah lagu dari Indonesia pada konsert tersebut berkata, dia akan memberikan persembahan istimewa bagi menarik perhatian juri dan penonton.
Seorang lagi peserta, Nyda, 17, atau nama sebenarnya Harnida Shazila Haron berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dilaluinya sedikit pun tidak mengganggunya membuat persiapan menghadapi konsert berkenaan.
"Saya ada rasa sedikit gemuruh tetapi latihan yang diberikan oleh tenaga pengajar banyak membantu untuk mengatasi perasaan tersebut.
"Dalam kelas, kami diajar bagaimana untuk fokus dalam sesuatu perkara. Ketika peperiksaan saya akan fokus belajar manakala ketika menyanyi, saya akan fokus untuk memberikan persembahan terbaik," katanya.
Juara Soulstar 2012 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta hadiah-hadiah lain. Pemenang tempat kedua dan ketiga akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000.
Soulstar 2012 dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala akhbar Kosmo! menjadi rakan media rasmi.
Untuk urusan pembelian tiket, sila hubungi 082-846 108.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: