|
BERLAINAN pula dengan konsert Kenny Rogers Live In Malaysia 2012 yang berlangsung sehari sebelum konsert Jonas Brothers di Genting Highlands, Pahang.
Bagi pengasas francais restoran Kenny Rogers Roasters itu, usia 73 tahun bukan penghalang untuk bergelar seorang penghibur.
Sebanyak 19 buah lagu yang dipersembahkan tanpa sebarang cela dan bersulam humor yang bersahaja menjadi pelengkap sesebuah acara konsert yang dihadiri oleh lebih 7,000 peminat di Arena Of Stars, Genting Highlands.
Rogers membuka persembahan seawal pukul 8.45 malam dengan lagu hit, Love Or Something Like It, disusuli It's A Beautiful Life, Ruby, Somethings Burning, Reuben James, Love The World Away, Daytime Friends, Stand Up, Lucille, Lady dan Island.
Ada pula antara beberapa buah lagu nyanyiannya diiringi persembahan slaid menceritakan perjalanan karier dan kehidupannya terkini.
Tiga buah lagu memberi makna mendalam baginya iaitu To Me, Condition dan Gambler dipilih bersama sisipan kisah seorang Kenny Rogers.
Ceritanya mengenai sebuah lagu terbaharunya Buy Me A Rose, terdetik sebuah falsafah mengenai kehidupan manusia pada asalnya.
"Lagu ini membuktikan kepada saya lelaki berasal dari planet Marikh dan wanita asalnya dari planet Zuhrah," ujarnya berseloroh.
Sedikit hambar pada pertengahan konsert memandangkan mungkin ada segelintir hadirin bukan peminat fanatiknya. Namun Rogers menyifatkan peminatnya terdiri daripada dua kelompok.
"Pertama, orang yang lahir selepas tahun 1960 yang pastinya jarang mendengar lagu-lagu saya dan keduanya, orang yang lahir sebelum tahun 1960 yang tidak ingat lagu-lagu saya," katanya berjenaka.
Kenny Rogers terkenal sebagai seorang penyanyi pop, country dan jazz sekitar awal tahun 1950. Bintang dunia kelahiran Texas, Amerika Syarikat itu pernah berkahwin sebanyak empat kali dan perkahwinan kelimanya bersama Wanda Miller masih kekal hingga kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: