Thursday, November 15, 2012

Papan kekunci nyalaan elektro

Ciri-ciri resolusi definisi tinggi serta papan kekunci berlatar nyalaan elektro antara ciri menarik Acer Aspire 7.
SEIRING perkembangan dunia pengkomputeran moden, banyak syarikat teknologi memberi tumpuan terhadap pembangunan produk komputer riba ultra (ultrabook).
Sehubungan itu Acer Malaysia juga melengkapkan rangkaian produk Ultrabook keluaran mereka menerusi pengenalan Acer Aspire S7.
Direka dengan ciri-ciri dinamik dan nipis iaitu 11.9 milimeter (mm) dan berat 1.3 kilogram (kg), peranti ini menawarkan alat sentuh yang komprehensif khusus untuk pelaksanaan tugasan harian secara mudah alih.
Menurut Pengurus Besar Acer & Services Sdn. Bhd., Ricky Tan, selain mempunyai reka bentuk yang nipis dan elegan, model berkenaan turut dilengkapi teknologi sempurna.
"Kami sentiasa bekerjasama dengan rakan kongsi kami iaitu Microsoft dan Intel untuk mencipta produk yang boleh menguasai dunia pengkomputeran sekali gus memberikan pengalaman yang optimum kepada pengguna.
"Melalui kerjasama ini, kami mendahului pesaing lain dalam penciptaan reka bentuk produk terkini yang turut dilancarkan bersama Windows 8," katanya pada majlis pelancaran Acer Aspire 7 di ibu negara baru-baru ini.
Ultrabook Acer Aspire S7 didatangkan dengan kelebihan permukaan tahan calar menerusi teknologi Gorilla Glass 2 putih setebal 11.9 mm yang mempunya kekuatan kukuh untuk kesan pengendalian dalam penggunaan harian.
Selain itu ia mempunyai dwi-engsel pada penutup bagi mewujudkan jumlah rintangan ideal untuk kawalan sentuhan.
Dikuasakan oleh pemproses Intel Core Generasi ke-3, Acer Aspire S7 mampu menyimpan memori sehingga empat giga bait (GB) serta 128 GB pada SSD.
Lebih mengujakan apabila skrin paparannya mempunyai ciri-ciri resolusi definisi tinggi (Full HD 1920 x 1080) serta papan kekunci berlatar nyalaan elektro yang memberikan penataan cahaya lebih telus dan lembut.
Kelebihan inovasi terkini udara dwi-penyejuk yang dimiliki juga berkebolehan untuk memanjangkan kuasa penyimpanan bateri sehingga enam jam pengunaan.
Daripada segi binaan, model utama dalam rangkaian Aspire ini hadir dengan reka bentuk ergonomik dan kemasan metaliknya dilihat mampu memberi gaya elegan kepada pengguna.
Untuk segala kecemerlangan itu, Ultrabook Acer Aspire S7 kini boleh diperolehi dengan tawaran harga pasaran RM3,799.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: