Thursday, November 15, 2012

Nafkah isteri

Nafkah itu wajib ke atas suami walaupun isterinya bekerja. - Gambar hiasan
DUA minggu lalu saya menulis mengenai nafkah isteri dan kewajipan suami membiayai isteri dan anak-anak. Isu ini penting dibincangkan kerana hari ini kebanyakan wanita bekerja dan membantu meringankan beban kewangan rumah tangga. Dahulu, bapa atau suamilah ketua keluarga yang menjadi orang utama yang membawa rezeki ke rumah.
Ketika itu. banyak juga ibu-ibu kita bekerja di sawah, menoreh getah, menjaga anak orang, menjual kuih, mencuci baju di rumah orang dan sebagainya.
Mungkin kerana semua kerja itu dibuat dalam keadaan yang tidak formal dan tidak memerlukan sijil, maka ramai menganggap ia bukan suatu pekerjaan.
Hari ini wanita berkelulusan tinggi dan menjawat jawatan tinggi serta bergaji besar. Kebanyakan anak perempuan juga menyara keluarga. Tanggungjawab yang dahulunya hanya diserahkan kepada anak lelaki. Malahan banyak juga suami yang memilih untuk menjadi 'suri rumah'.
Dalam situasi yang telah banyak berubah ini, siapakah yang wajib menanggung dan kenapa?
Seperti yang telah saya tulis dalam artikel lalu, tugas dan tanggungjawab menyara isteri jatuh ke bahu suami seperti yang telah disebut dalam al-Quran. (rujuk al-Talaq: 7, al-Baqarah: 233 dan al-Talaq: 6)
Oleh kerana pada zaman dahulu wanita tidak bekerja (dalam bentuk kerja formal), maka isu nafkah isteri bekerja tidak timbul.
Mazhab-mazhab lain selain Hanafi tidak menyebut secara jelas tentang hak nafkah seorang isteri yang bekerja. Hukum nafkah isteri yang bekerja boleh dirumuskan berdasarkan, sama ada isteri taat atau nusyuz kerana seorang isteri perlu meminta izin daripada suami terlebih dahulu dalam segala urusan.
Ulama Maliki dalam sharh al-Sawi menyebut, antara syarat nafkah adalah isteri tidak nusyuz. Sekiranya isteri menahan diri dan suami tidak boleh berseronok dengan isteri, hak nafkah digugurkan.
Ulama Shafi'i pula menyebut, nafkah wajib bagi isteri dengan akad perkahwinan yang sah dan kemungkinan untuk berseronok pada bila-bila masa.
Disebut dalam al-Muhadhdhab, isteri merdeka yang menyerahkan diri untuk suaminya pada waktu malam sahaja tidak berhak ke atas nafkah, kerana penyerahan itu tidak sempurna. Ulama Hanbali menyebut dalam al-Mughni, sekiranya isteri keluar rumah tanpa izin suami, maka gugur haknya ke atas nafkah.
Berdasarkan pendapat-pendapat fuqaha di atas, 'Abd Fatah Amru, seorang ulama kontemporari merumuskan, isteri yang bekerja tidak berhak ke atas nafkah sekiranya suami menghalangnya daripada bekerja.
Ketika mereka berkahwin dan isteri adalah seorang yang bekerja, maka suami berhak menyuruhnya berhenti kerja. Jika si isteri tidak berhenti, maka dianggap nusyuz dan gugur nafkahnya.
Bermakna juga, seseorang isteri yang bekerja pada waktu siang hari dan suami meredainya dan tidak menghalang isterinya bekerja, maka hak nafkah tidak gugur dan wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isterinya.
Walau bagaimanapun, sekiranya suami tidak meredai pekerjaan tersebut dan menegah isteri daripada keluar bekerja dari awal perkahwinan mereka, maka suami tidak wajib menyara isterinya jika isteri tetap keluar bekerja.
Sekiranya suami membenarkan isterinya bekerja pada permulaan perkahwinan, kemudian menyuruhnya berhenti kerja, maka isteri wajib berhenti kerja. Kalau isteri tidak berhenti, maka suami tidak wajib membayar nafkah kerana isteri nusyuz.
Muhammad Mustafa Shalabi dalam bukunya Zakiy al-Din Sha'ban menambah, sekiranya isteri bekerja di rumah seperti menjahit, mengarang buku dan sebagainya yang tidak mengganggu menunaikan tanggungjawab perkahwinan, maka haknya terhadap nafkah tidak gugur.
Pendapatan
Jika dilihat daripada pandangan ini, jelas, tiada hujah yang bertepatan dengan zaman ini kerana situasi yang berbeza.
Hari ini jarang sekali seorang wanita itu tidak bekerja sebelum dia berkahwin. Kebanyakan suami, sebelum dia mengahwini isterinya, mengetahui bahawa isterinya bekerja dan menyara keluarga.
Bukan itu sahaja, banyak isteri mempunyai pendapatan lebih tinggi dan isterilah yang menjadi penyara dalam rumah tangga.
Dalam keadaan seperti ini, apakah hukumnya? Di Mesir, sekiranya pada masa perkahwinan mereka, isteri adalah seorang yang bekerja dan suami tidak menghalangnya daripada bekerja, nafkah tidak gugur kerana beliau juga tetap melangsungkan perkahwinan walaupun tahu bahawa isteri adalah seorang yang bekerja dan suami tidak pula mensyaratkan isteri supaya berhenti kerja ketika berkahwin.
Jika situasi di Mesir ini diguna pakai di Malaysia, maka wanita yang bekerjaya dan menjana pendapatan keluarga perlu jelas tentang kedudukannya apabila dia berkahwin.
Oleh kerana hukum nafkah itu wajib ke atas suami dan bersyarat, maka isteri yang bekerja perlu jelas tentang kedudukan itu. Tambahan pula nafkah bergantung kepada kemampuan suami.
Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita yang bekerja, perlu tahu bahawa dia tetap wajib memberi isterinya 'makan, minum, tempat tinggal dan kemudahan asas' yang biasa diberikan kepada seorang isteri mengikut kemampuannya.
Mazhab Shafi'i dan satu pandangan dalam mazhab Hanafi mengatakan bahawa kadar nafkah adalah berdasarkan kepada keadaan suami. Sekiranya suami seorang yang miskin, maka nafkah adalah mengikut kemampuannya walaupun isteri adalah seorang yang kaya. Ini berdasarkan surah al-Talaq ayat tujuh.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: "Berbelanjalah makanan (para isteri) daripada apa yang kamu makan dan berilah pakaian mereka daripada jenis yang kamu pakai. Jangan kamu pukul mereka dan jangan kamu memburuk-burukkan mereka."
Oleh itu, suami walau apa kedudukan kewangannya, wajib membayar nafkah kepada isterinya mengikut kemampuan walaupun isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi.
Bagi pasangan yang ingin berkahwin, isu nafkah dan kewangan keluarga perlu dibincangkan semasa hendak melangsungkan perkahwinan. Saya dapati daripada kajian, ini adalah antara sebab perceraian kerana suami tidak tahu tanggungjawab dan isteri tidak tahu haknya.
Bakal suami, semasa hendak berkahwin, kira pendapatan anda. Mampukah anda memiliki seorang wanita, menyara isteri dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut dengan gaji anda.
Isteri pula, semasa hendak berkahwin, demi cinta sanggup berkorban apa saja. Anak-anak gadis berpendapatan tinggi sanggup mendahulukan wang hantaran dan belanja kahwin asalkan perkahwinan dapat dilangsungkan dengan lelaki pilihan hati.
Jika masa hendak berkahwin sudah sedia berkorban, maka anda akan terkorban dalam sebuah perkahwinan yang tidak seimbang atau sekufu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: