Saturday, November 10, 2012

Muiz permata sukan go-kart



IBARAT kata pepatah, kecil-kecil cili padi, ia amat sesuai ditujukan kepada Muizzuddin Mushaffa Abdul Gafar, pelumba cilik negara yang mengibar Jalur Gemilang pada Kejuaraan Go-Kart Itali CSAI.
Beraksi di gelanggang saingan go-kart yang diiktiraf antara terulung di dunia, anak kecil berusia 10 tahun yang mesra dipanggil Muizz itu berjaya membuktikan kemampuan diri setanding dengan pelumba handalan lain.
Walaupun tahun 2012 merupakan musim pertamanya beraksi di Itali, tetapi anak sulung daripada empat beradik itu sudah menunjukkan prestasi terbaik. Buktinya, seawal pusingan pertama di Litar Sarno pada awal Mei lalu, Muizz sudah berjaya menduduki tempat ke-20 daripada 51 pelumba.
Ini diikuti pencapaian di tempat kesembilan sewaktu pusingan kedua yang berlangsung pada 3 Jun 2012 di Ugento, Leece, Itali.
Berpegang kepada moto perjuangan no retreat, no surrender, peminat besar perlumbaan Formula Satu (F1) yang digelar Iron Man oleh pasukannya dan pelumba lain itu yakin bahawa impiannya melakar kedudukan terbaik mampu direalisasi walaupun ia sebenarnya suatu misi sukar.
"Tahun ini adalah musim pertama saya di Itali. Ia lebih untuk menimba pengalaman dan mengenal saingan. Namun, berbekalkan pengalaman tahun ini, saya berazam untuk mengejar podium secara konsisten sepanjang kejuaraan tahun depan.
"Berlumba di Itali amat berbeza. Pelumba-pelumba amat bagus. Saingan sangat hebat dan kami bersaing menggunakan jentera dan chasis terbuka. Ia sangat berbeza dengan Malaysia," kata Muizz yang beraksi buat kali pertama musim ini untuk kejuaraan penuh dan bertarung dengan para pelumba yang rata-rata lebih tua daripadanya dalam kategori Mini 60.
Muizz yang ditemui Kosmo! ketika berada di Kuala Lumpur pada Julai lalu memberitahu, persaingan di Itali melibatkan pelumba yang datang dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Jepun dan Eropah.
"Itu antara sebab utama kenapa saya memilih untuk bersaing di sana kerana ingin berlumba dengan yang terbaik," kata Muizz yang mula melibatkan diri dalam sukan go-kart pada usia lapan tahun dengan penuh semangat.

MUIZZ (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan dari Gamoto Racing Team.


Selain itu, Muizz turut beraksi pada Kejuaraan Siri Karting Dunia, Piala Kejohanan WSK dan pertandingan peringkat negeri, Campionato Regionale Puglia di sekitar negara yang terkenal dengan hidangan pasta itu.
Program tiga tahun
Muiz kini menetap di Sicily, Itali bersama ibunya, Siti Rohanah Hussein dan mempunyai program selama tiga tahun bagi penyertaan untuk berlumba di sana. Ayahnya, Abdul Gafar Abdurrahiman pula akan datang untuk menyaksikan perlumbaan yang melibatkan Muizz jika ada kelapangan.
Sebagai ibu, Siti Rohanah gembira apabila anaknya berpeluang menimba pengalaman berlumba di negara tersebut.
"Setiap ibu bapa sudah pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Begitu juga saya dan suami. Melalui cara ini, saya percaya bakat dan kebolehan yang dimiliki Muizz dapat diasah dengan lebih berkesan.
"Hidup di Sicily memang banyak cabarannya terutama latar budaya dan bahasa. Tetapi, itu perkara biasa yang dihadapi semua orang yang berhijrah ke tempat baharu, apatah lagi negara luar. Saya anggap ia sebagai pengalaman untuk mematangkan diri," terang Siti Rohanah sambil melahirkan harapan agar Muizz mampu mengharumkan nama Malaysia satu hari kelak.
Catat sejarah
Sementara itu, pengurus Muizz, Zainuddin Radzi memaklumkan bahawa pencapaian anak didiknya itu dalam aksi perlumbaan di Itali amat membanggakan.
"Muizz boleh dianggap permata cilik sukan go-kart negara. Dia bukan sahaja mencatat sejarah menjadi pelumba go-kart Malaysia yang pertama mencatat kemenangan di bumi Eropah, bahkan sudah tiga kali melakukannya," ungkap lelaki yang lebih dikenali sebagai Pak Din dalam kalangan sukan go-kart Malaysia.
Menurut beliau, kemenangan pertama Muizz adalah pada saingan Campionato Regionale Puglia pada 27 Mei 2012 manakala kejayaan kedua diraih Muizz pada 10 Jun dalam saingan Sicily Campionato Cup 2012.
"Bagaimanapun, sasaran utama kami adalah pada Kejuaraan Go-Kart Itali CSAI. Ini adalah pentas jaguh-jaguh F1 beraksi pada awal karier mereka bermain go-kart seperti Lewis Hamilton, Sebastian Vettel, Mika Hakkinen, Michael Schumacher dan ramai lagi.

PENGORBANAN Siti Rohanah untuk menetap di Sicily, Itali dilakukan semata-mata demi masa depan Muizz.


"Di sinilah juga tempat banyak pencari bakat untuk pasukan-pasukan lumba single-seater. Lantaran itu, kejuaraan ini amat penting dalam pembangunan karier Muizz," ujar Zainuddin.
Terbaru pada aksi final ROK Cup Italia yang berlangsung 16 September lalu, anak muda kelahiran Cheras itu berjaya menduduki podium apabila menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 9 minit, 48.461 saat, ketinggalan 0.33 saat di belakang pemenang tempat kedua, Kevin Gagliano.
Untuk kejuaraan Siri Karting Dunia tahun ini, Muizz sudah menyertai lima perlumbaan dan dia sekarang menduduki tempat ke-25 keseluruhan daripada 48 pelumba.
Diurus oleh pasukan Gamoto Racing Team, Muizz mula bersaing di luar negara sejak tahun lepas selepas ayahnya menyedari bakat besar yang dimiliki oleh anaknya itu.
"Justeru, kami tidak teragak-agak membuat pelaburan untuk Muizz berlumba di Itali untuk tiga musim bermula tahun ini. Segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh keluarga dan rakan taulan yang berkongsi satu impian iaitu untuk melihat Muizz menjadi pelumba handalan dunia.
"Gamoto Racing Team adalah salah satu pasukan go-kart yang sangat kukuh di Itali dan telah beroperasi sejak 30 tahun lalu. Pasukan ini banyak mengendalikan para pelumba muda yang kemudian terus berkembang menjadi pelumba terkenal," jelas Zainuddin yang menyenaraikan Tony Kart, PDB dan Top Kart sebagai antara chasis-chasis terkemuka dunia yang lain.
Ditanya mengenai enjin pula, Zainuddin berkata, penggunaan enjin adalah terbuka dalam kejuaraan di Itali yang disertai Muizz.
Dalam kejohanan ini, peserta boleh menggunakan pelbagai enjin berbeza tetapi memiliki kuasa kuda yang sama. Antara enjin yang biasa digunakan termasuklah LKE, Comer, Parilla, Vortex dan Rotax. Muizz menggunakan enjin LKE 60cc.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: