SAYA membuat pinjaman sebanyak RM100,000 dari sebuah bank yang
menawarkan pembelian saham amanah dari sebuah institusi dan tempoh
matang bagi saya mendapat keseluruhan pinjaman beserta keuntungan atau
dividen daripada saham berkenaan, adalah selepas 10 tahun. Tetapi, saya
mengambil keputusan untuk keluar daripada saham berkenaan pada tahun
yang kelima. Soalannya, adakah saya perlu mengeluarkan zakat saham
berkenaan?
Jawapan
SOALAN ini memang banyak diajukan oleh umat Islam. Ini kerana, memang
ada pihak bank yang menawarkan pinjaman khusus kepada pelanggan agar
mereka dapat membeli saham daripada pihak amanah saham tertentu dengan
syarat-syarat yang tertentu. Ramai umat Islam yang merebut peluang ini.
Oleh itu, demi menjawabnya, maka cuba kita perhatikan, adakah wang
atau saham yang saudara miliki itu menepati syarat asas wajib zakat?
Pertama, adakah pinjaman itu menepati syarak, misalnya tidak melibatkan
riba? Jika ya, baharu wajib zakat. Kedua, adakah saham yang mahu
dilaburkan itu juga menepati syarak? Jika ya, baharu boleh dikira untuk
zakat sahamnya.
Kemudian, suka saya nyatakan bahawa maklumat yang saudara berikan di
atas agak terhad. Maka, jawapan ini adalah berdasarkan kefahaman yang
mampu saya garapkan daripada persoalan berkenaan.
Saudara ada menyatakan yang syarat semasa membuat pinjaman daripada
bank berkenaan, maka wang dan segala pengembangan daripada pelaburan
saham berkenaan hanya akan dimiliki selepas 10 tahun.
Maknanya, dalam tempoh kurang 10 tahun itu, adakah saudara boleh
memiliki zat dan manfaat wang berkenaan tanpa halangan? Adakah tempoh 10
tahun itu hanya tempoh kematangan dan dalam tempoh sebelum 10 tahun,
saudara masih boleh mengeluarkan saham dan keuntungannya?
Jika tidak boleh memilikinya, maka di sini tiada sempurna milik ke
atas wang dan pelaburan saudara berkenaan, maka tidaklah wajib
dizakatkan selagi mana ia belum habis tempoh matang selama 10 tahun
berkenaan. Saudara tidak perlu pun mengqada mana-mana tahun yang tidak
sempurna milik tersebut.
Tetapi, jika saudara masih boleh mengeluarkannya dalam mana-mana
tahun sebelum mencapai tempoh matang 10 tahun, maka wajiblah saudara
melunaskan zakat sahamnya pada setiap tahun berdasarkan jumlah saham
yang telah saudara miliki secara sempurna milik (yakni jumlah unit saham
yang telah dijelaskan X harga pasaran hujung tahun + keuntungan saham X
2.5 peratus > zakat) jika ia melebihi nisab.
Maka wajib jugalah saudara mengqadanya jika sebelum ini saudara tidak pernah pun mengeluarkan zakat sahamnya.
Perkara seterusnya, jika saudara mengambil keputusan untuk menamatkan
pelaburan dalam tempoh lima tahun, persoalannya, adakah saudara bakal
mendapatkan kesemua wang pinjaman berkenaan termasuklah pengembangan
(dividen atau sebagainya) daripada saham atau tidak?
Katakanlah, dalam kes ini, saudara boleh menamatkannya dan saudara
hanya mendapat hak ke atas sebahagian daripada pinjaman berkenaan.
Katakanlah saudara telah menjelaskan sebanyak RM50,000 dan apabila
saudara menarik diri daripada saham, maka saudara diberikan hak oleh
bank berkenaan RM50,000 berkenaan yang menyamai 50,000 unit, maka nilai
tersebut menjadi 'milikan sempurna' ke atas saudara.
Maka, wang RM50,000 yang menyamai 50,000 unit yang saudara peroleh
itu hendaklah dikirakan sebagai zakat saham dengan dicampurkan segala
pengembangannya di penghujung tahun (kiraan adalah sama seperti contoh
di atas).
Contoh: 50,000 unit saham X nilai pasaran saham hujung tahun + dividen @ bonus X 2.5 peratus > zakat
Kaedah pengiraan zakat saham yang disimpan hingga ke penghujung
tahun, mestilah melihat kepada nilai atau harga seunit saham di
penghujungnya. Ia tidak dikenakan sebagai zakat simpanan ataupun zakat
pendapatan; tetapi zakat saham kerana saham adalah sejenis pelaburan dan
bersandarkan kepada kaedah 'urd tijarah (zakat perniagaan).
Kesimpulannya, saudara hendaklah melihat kepada aspek sempurna milik
dalam menentukan, sama ada ia wajib dizakatkan atau tidak dan kirakanlah
zakatnya sesuai dengan kaedah taksiran zakat saham yang telah
disediakan. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati niat dan azam saudara
untuk menunaikan zakat. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: