Yahya menunjukkan notis sita oleh JKM.
Yahya menunjukkan notis sita oleh JKM.
Kakitangan JKM mengambil beg penghuni selepas serbuan dilakukan, kelmarin.
Kakitangan JKM mengambil beg penghuni selepas serbuan dilakukan, kelmarin.
KUALA LUMPUR - “Lebih 20 tahun kami membuat kerja bagi menutup aib pelatih dan keluarga yang bermasalah, akhirnya kami sendiri telah diaibkan,” kata pengendali dan Pengetua Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof apabila pusat perlindungan itu ditutup dan disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, kelmarin.

Beliau yang mengusahakan pusat itu bersama isterinya, Ruzitah Bahrum berkata, laporan media yang mengatakan 69 penghuni diselamatkan tidak benar sama sekali apabila Kewaja yang memberi perlindungan kepada mereka.

Menurutnya, pusat jagaan itu selama ini telah menjadi rumah perlindungan kepada pelatih bermasalah sehinggakan banyak keluarga merayu untuk menempatkan ahli keluarga di sini apabila kebanyakan pusat lain tidak boleh menerima mereka.

“Tapi media melaporkan perkara yang tidak benar dengan membuat fitnah, laporan negatif dan mengaibkan kami sedangkan Kewaja cuba membantu kerajaan bagi mengurangkan masalah sosial,” katanya kepada Sinar Harian ketika memperjelaskan kedudukan sebenar apabila beberapa laporan dianggap berat sebelah tanpa merujuk kepada Kewaja.

Media semalam melaporkan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menyerbu dua rumah teres yang dijadikan pusat perlindungan wanita di Setapak yang beroperasi tanpa lesen dan menyelamatkan 69 wanita.

Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan tiga jam bermula 10 pagi, pusat itu didapati menempatkan 69 wanita, berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat ditetapkan jabatan itu.

Yahya berkata, apa yang turut dikesalkan apabila serbuan JKM adalah disebabkan berikutan Kewaja gagal mendaftarkan pusat berkenaan tetapi media pula telah mensensasikan laporan yang tidak tepat berhubung perkara itu.

Menurutnya, beliau akur Kewaja telah melanggar peraturan namun di atas sifat tanggungjawab sosial dan kebajikan, Kewaja sanggup menerima pelatih bermasalah bagi menutup aib yang dihadapi oleh keluarga pelatih.

Katanya, Kewaja menjadi destinasi terakhir dirujuk apabila kebanyakan pusat jagaan seperti ini tidak dapat menerima mereka tetapi niat baik Kewaja disalah erti beberapa pihak lain.

“Prinsip Kewaja adalah ingin membantu dan menyelamat mereka yang tersepit dan apa kaedah sekalipun, Kewaja akan cuba membantu kerana negara sedang menghadapi masalah sosial.

“Kewaja tidak mampu menolak permintaan masyarakat sekalipun melanggar peraturan dan undang-undang. Saya bertawakal walaupun pusat perlindungan ini belum mendapat sijil sah beroperasi, tetapi pada masa sama, wanita dan remaja yang bermasalah ini perlu diselamatkan segera,” katanya.


Akur tindakan JKM

Yahya berkata, beliau reda dengan tindakan penguatkuasaan JKM dan tidak menyalahkan pihak tersebut kerana menjalankan tugas.

Menurutnya, apa yang terkilan kepada Kewaja, JKM hadir melakukan serbuan tanpa memaklumkan Kewaja dan memberi hukuman tanpa memberi bimbingan serta mendidik pusat perlindungan seperti ini.

“Bagaimanapun, saya tidak akan mengalah dalam perjuangan ini kerana yakin bahawa Kewaja di pihak yang benar untuk membantu masyarakat dan pada masa yang sama, membantu usaha kerajaan membendung gejala sosial,” katanya.

Katanya lagi, cuma kehadiran media semasa serbuan dilakukan, JKM tidak dapat mengawal wartawan yang ghairah melaporkan berita sehingga ada laporan disensasikan di luar jangkauan dan mengaibkan Kewaja kerana mendengar dari satu pihak sahaja.


Daftar sejak 2003

Yahya berkata, Kewaja telah berusaha dan mendaftarkan pusat perlindungan ini dari JKM pada 2003 tetapi tidak berjaya kerana masalah teknikal dan dokumentasi.

Katanya, ada beberapa syarat sukar untuk dipenuhi dan menyebabkan pusat jagaan ini tidak berjaya dalam permohonan.

“Saya tak salahkan mana-mana pihak tetapi sistem yang ada mahukan syarat tertentu dipatuhi.

“Tetapi tempoh 21 hari yang diberikan oleh JKM akan digunakan sebaiknya untuk memperoleh kelulusan tersebut kerana pada masa yang sama, golongan bermasalah perlu diberi perlindungan.

Laporan media berhubung keluarga membayar yuran sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung tidak benar sama sekali.

Katanya, Kewaja tidak pernah memaksa kepada keluarga pelatih membuat bayaran sekiranya tidak mampu dan masih menerima mereka kerana ramai daripada pelatih yang tidak membayar yuran.