Kesal keputusan UPSR silap
Nur Ainina menunjukkan slip keputusan UPSR yang diterima, tertera 'T' bagi mata pelajaran Sains iaitu tidak hadir menduduki peperiksaan.
BANDAR PEKAN - Rasa teruja seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menanti keputusan yang diumumkan Isnin lalu bertukar pilu apabila mendakwa terdapat kesilapan pada keputusan yang diterima.

Murid Sekolah Kebangaan Seri Makmur,  Nur Ainina Fitrah Jasmine Awg Muhamad, 12, menitiskan air mata sedih apabila dia dikatakan tidak hadir menduduki kertas peperiksaan mata pelajaran Sains seterusnya memperoleh ‘T’ dalam slip keputusannya.

Menurut ibunya, Siti Rahmah Ali, pada hari keputusan UPSR diumumkan, dia sangat terkejut dengan perkara itu, malah tidak sanggup melihat anaknya kesedihan.
“Sebagai seorang ibu saya terkilan dengan apa yang berlaku dan perkara ini seharusnya diselesaikan sebab anak saya hadir menduduki peperiksaan mata pelajaran berkenaan.

“Ia seharusnya tidak berlaku kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak saya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.