Wednesday, November 14, 2012

Kerja-kerja gali kubur Arafat bermula


GAMBAR fail menunjukkan kubur Arafat di Ramallah, Palestin pada 29 Januari 2009.


RAMALLAH - Kerja-kerja untuk menggali kubur bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) bermula di sini semalam yang akan berakhir selama lebih dua minggu.
Kubur Arafat digali bagi tujuan melakukan siasatan bagi mengetahui punca kematian sebenar bekas pemimpin tersebut.
Arafat meninggal dunia pada 11 November 2004 di sebuah hospital tentera di Paris, Perancis.
Rekod-rekod perubatan menunjukkan beliau meninggal dunia akibat pendarahan otak.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya Perancis membuka siasatan kematian Arafat pada Ogos lalu selepas stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan kenyataan pakar-pakar Switzerland bahawa bahan radioaktif polonium ditemui pada barang milik bekas pemimpin tersebut.
"Mereka (para pekerja) mula memindahkan konkrit dan batu dari bangunan kubur Arafat dan kerja-kerja akan berakhir selama hampir 15 hari," kata satu sumber Palestin.
Menurutnya, kerja-kerja penggalian akan dihentikan apabila bahagian yang hampir dengan tempat mayat Arafat ditanam ditemui.
Mayat Arafat itu tidak akan dialihkan sehingga ketibaan anggota pendakwa raya Perancis, pakar-pakar Switzerland dan para penyiasat Rusia.
Perancis telah menamakan satu panel hakim untuk melancarkan siasatan terhadap kematian Arafat.
Hakim-hakim tersebut akan melawat bangunan kubur bekas pemimpin Palestin itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: