Friday, November 2, 2012

Keluarga penyembuh sakit Shaliza






SHALIZA SHAHZULKARIB, 42, tidak pernah menyangka bengkak di tapak kaki, demam dan lenguh-lenguh kakinya akan meninggalkan kesan besar kepada diri beliau.
Ketika itu, Shaliza yang baru berusia 19 tahun bekerja sebagai pramugari di Malaysia Airlines (MAS). Simptom-simptom berkenaan dianggap biasa memandangkan dia aktif berjalan.
Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, dia berasa bimbang dengan masalahnya itu dan telah merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan.
Pada masa itu, doktor mengesyaki dia menghidap Lymphedema Praecox atau urat saraf, namun selepas menjalani beberapa kali ujian darah ia masih tidak dapat disahkan.
Bagaimanapun, semuanya terjawab apabila dia ditugaskan mengikuti penerbangan ke London pada tahun 1993.
Sepanjang berada di sana selama beberapa hari, bengkak kakinya berulang lagi lalu dia merujuk ke sebuah hospital di sana. Sebaik doktor memeriksa kaki Shaliza, dia disahkan menghidap penyakit urat saraf.
Penyakit Lymphedema Praecox atau urat saraf merupakan sejenis penyakit yang akan menyebabkan kaki menjadi besar seolah-olah kaki gajah.
Penyakit tersebut dikatakan disebabkan oleh sejenis nyamuk dikenali sebagai mansonia. Pesakit hanya akan mengalami simptom-simptom am seperti demam, anggota badan bengkak dan perubahan warna kulit menjadi kehitaman.

KEADAAN kaki Shaliza yang membengkak luar biasa mendapat perhatian pelbagai pihak pada tahun 2009.


Cerita wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu lagi, doktor berkenaan turut terkejut dengan keputusan tersebut memandangkan di London penyakit berkenaan biasanya menyerang golongan tua.
Sambil menunjukkan beberapa keping gambar keadaan kaki pesakit untut, Shaliza sendiri berasa terkejut.
Dia hanya mampu menangis selepas melihat gambar-gambar pesakit-pesakit yang memiliki kaki yang terlalu besar seperti kaki gergasi.
“Disebabkan terlalu kecewa, saya mengambil cuti selama sebulan, namun selepas itu saya perlahan-lahan menerima hakikat tersebut dan kembali bekerja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang, Selangor.
Selepas disahkan menghidap penyakit itu, keadaan kedua-dua kakinya sedikit membesar sehingga paras pinggang.
Bagaimanapun, keadaan ketika itu masih tidak terlalu serius memandangkan masih boleh dilindungi apabila Shaliza menyarung kain kebaya. Justeru, dia menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.
“Saya bekerja seperti biasa, malah saya masih boleh bertugas di awan biru,” ujarnya sambil memberitahu dia tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan rawatan sama ada di hospital mahupun secara tradisional.
Di samping itu, beliau amat bersyukur kerana pihak MAS masih membenarkannya terus bekerja.
Hanya selepas lima tahun menjadi pramugari, Shaliza ditukarkan ke pejabat Pentadbiran Komunikasi MAS kerana penyakitnya bertambah serius.
Gara-gara mudah penat dan kaki bertambah bengkak, dia akhirnya mengambil keputusan berhenti bekerja pada tahun 1996.

SHALIZA terpaksa memakai stoking khas untuk mengecutkan urat dan melindungi kakinya.


Bertemu jodoh
Ekoran keadaannya itu, beliau terpaksa duduk di rumah dan membantu ibunya, Umi Kalthum Wan Chik, 69, menguruskan hal-hal rumah.
Pada tahun 1996, Shaliza menemani ibunya menunaikan haji. Di sana, beliau menemui suaminya, Safwan Abd. Rahman, 47.
Perkenalan tanpa dirancang itu bermula selepas ibunya bertegur sapa dengan ibu Safwan, Idah Mad Dom, 80.
Sepanjang berada di sana, mereka semakin akrab sehinggalah ibunya menceritakan keadaan Shaliza.
Akui Shaliza, beliau pernah terserempak dengan Safwan beberapa kali di Tanah Suci, namun tidak menyangka lelaki itu bakal menjadi suaminya.
Bagaimanapun, jodoh mereka bertaut juga selepas Safwan menunaikan solat sunat Istikharah untuk memilih bakal teman hidupnya.
“Dia (Safwan) memaklumkan kepada ibunya bahawa dia melihat saya dalam mimpi, lantas ibunya terus menyuarakan isi hati anaknya itu kepada ibu saya,” kata Shaliza sambil mengakui Safwan sememangnya mengetahui penyakit yang dihidapi beliau sejak awal lagi.
Sebaik pulang dari Tanah Suci mereka akhirnya bernikah.
Keadaan serius
Selepas setahun mendirikan rumah tangga, keadaan Shaliza semakin teruk apabila kakinya membesar sekali gus menyebabkan berat badannya dari 50 kilogram (kg) naik mendadak hingga 180kg.
Begitupun, hasil perkahwinan yang dibina bersama Safwan, pasangan itu tetap bahagia dengan lapan orang cahaya mata.
Sepanjang mengandung, keadaan kakinya memang serius dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan.
Selepas 15 tahun bertarung dengan penyakit itu, pada tahun 2008 kaki Shaliza menjadi semakin kronik. Ketika itulah, kakinya menjadi semakin mengembang dan melebar dari paras pinggang.
Penderitaan Shaliza ketika itu juga mula mendapat perhatian media massa tanah air yang bersilih ganti menyiarkan kisah dan ketabahan wanita berkenaan.
Keadaan kakinya yang semakin membesar, menyebabkan Shaliza mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Doktor menyarankan supaya beliau menjalani pembedahan untuk membuang sel-sel mati, namun Shaliza enggan berbuat demikian kerana bimbang dengan risiko lumpuh.
Dia bagaimanapun, akhirnya terpaksa akur dan menjalani dua kali pembedahan di PPUM pada tahun 2009 dan 2010 yang mengambil masa selama 12 hingga 14 jam.
Surgeri tersebut dikendalikan di bawah pengawasan Konsultan Pembedahan Plastik dan Pembinaan Semula PPUM, Prof. Dr. Alizan Abdul Khalil.
“Pembedahan kali pertama, saya takut lihat kaki sendiri, kerana yang tinggal hanya otot, tulang dan kulit. Bahkan pembedahan kali kedua membuatkan saya hampir putus asa untuk berjalan kerana hampir semua daging kaki dibuang.

ANAK-ANAK Shaliza, Nurul Izzah (kiri) dan Nurul Syuhada sentiasa kagum dengan ketabahan dan kesabaran ibu mereka.


“Apabila doktor menyuruh saya cuba berjalan, saya berjalan terhuyung-hayang dan ia sungguh menakutkan,” jelasnya sambil memberitahu pembedahan itu dibiayai hasil sumbangan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, berkat keazaman dorongan suami dan anak-anak akhirnya dia berjaya dalam pembedahan tersebut.
Walaupun pada tahun pertama, Shaliza terpaksa menggunakan kerusi roda lantaran masih tidak mampu berjalan, pada penghujung tahun 2010 beliau sudah boleh mengukir senyuman.
Shaliza bukan sahaja boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kaki gajah yang membelenggu hidupnya selama hampir 20 tahun, bahkan dia sudah boleh berjalan seperti biasa.
“Namun begitu, selepas pembedahan saya terpaksa memakai stoking khas untuk mengecutkan urat selain memakai kasut (custom made) yang diperoleh dari kedai kasut sekitar Kajang pada harga RM40,” kongsi wanita itu lagi.
Melihat kepada kaki Shaliza, walaupun sudah bersaiz normal, namun kesan-kesan pembedahan masih nampak jelas.
Disebabkan itu, dia perlu menyapu minyak vitamin E tiga kali sehari agar kulit kaki sentiasa lembap selain bergantung kepada ubat-ubatan.
Kasih suami
Sementara itu, Safwan ketika ditemui mengakui, sejak penyakit isteri semakin kronik dia terpaksa mengharungi banyak cabaran.
Disebabkan isterinya sukar bergerak dan banyak bergantung dengan ubat-ubatan, Safwan ketika itu tidak dapat bekerja tetap apabila perlu menggalas tanggungjawab seorang ibu.
“Pagi dan petang, saya perlu mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah dan melakukan kerja-kerja rumah yang lain,” katanya yang kini mempunyai perniagaan sendiri.
Bagaimanapun, kini dia bersyukur keadaan Shaliza bertambah pulih dan anak-anak sudah dewasa.
“Kesemua anak-anak mengetahui tanggungjawab masing-masing dan mereka kini boleh menguruskan kerja-kerja rumah dengan sendiri,”ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: