Tuesday, November 13, 2012
Kebajikan veteran ATM antara terbaik di dunia
SEREMBAN - Pengurusan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara yang terbaik di dunia, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, komitmen dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan berkenaan turut mendapat pujian beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Britain serta Australia.
"Dalam satu persidangan dengan pengarah-pengarah jabatan veteran tentera negara terbabit mereka memuji komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan veteran ATM.
"Mereka memuji kerana kebajikan veteran ATM bukan sahaja meliputi soal perubatan, malah membabitkan anggota keluarga dan pendidikan anak-anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Mesra Rakyat Bersama Warga Kem Sikamat di pekarangan Kem Rejimen 4 Artileri Diraja dekat sini malam kelmarin.
Ahmad Zahid berkata, kelebihan itu sememangnya sukar dilakukan kerana ia membabitkan kos yang amat tinggi, namun kerajaan yang prihatin mengetepikan soal tersebut kerana mahu memberikan yang terbaik kepada golongan veteran tentera di negara ini.
"Soal perubatan veteran ATM bukan sahaja ditanggung ketika sakit sewaktu perkhidmatan, malah kos rawatan penyakit yang tidak ada kaitan seperti penyakit baharu dihadapi selepas bersara turut ditanggung," katanya.
Tambah beliau, kos rawatan perubatan tentera di negara ini turut meliputi anggota keluarga seperti isteri dan anak-anak berbanding negara berkenaan yang hanya dihadkan kepada anggota berkhidmat.
"Bukan itu sahaja, kita dipuji apabila mampu memberikan bantuan pelajaran serta biasiswa pendidikan kepada anak-anak veteran, walhal di negara-negara berkenaan langsung tidak memberikan kemudahan sedemikian," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: