Thursday, November 15, 2012

Jambatan P. Pinang ditutup Ahad ini untuk maraton


MERIAH. Ribuan peserta yang menyertai Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2011.


GEORGE TOWN - Jambatan Pulau Pinang akan ditutup kepada lalu lintas mulai pukul 1 pagi hingga 10 pagi Ahad ini bagi memberi laluan kepada Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang Allianz 2012.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) Suhailawatie Ramli berkata, penutupan itu melibatkan semua jalan masuk ke Jambatan Pulau Pinang di bahagian pulau dan Seberang Perai.
Menurut beliau, sebagai alternatif, perkhidmatan feri akan beroperasi selama 24 jam pada hari yang sama.
"Berdasarkan penganjuran yang sama tahun lalu, PPSB menjangkakan laluan ke feri akan sesak dua jam sebelum dan dua jam selepas acara itu disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.
"Justeru, PPSB berharap orang ramai merancang perjalanan mereka serta memberikan kerjasama kepada petugas PPSB," ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Suhailawatie berkata, PPSB juga akan memastikan aliran lalu lintas di bahagian Butterworth dan pulau berjalan lancar dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
Sebarang maklumat dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi 04-210 2227.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: