Perkara itu disahkan sendiri oleh penerbit Istanbul Aku Datang, Lina Tan, hari ini.
Menurut beliau, setelah lima hari ditayangkan, filem Istanbul Aku Datang berjaya mencatat kutipan RM 1 juta.
“Isnin lalu, setelah lima hari ditayangkan, Istanbul Aku Datang sudah mencatat jumlah kutipan RM1 juta, ini satu pencapaian yang bagus.
“Kami amat gembira malah pada hari pertama ditayangkan, ia sudah mula ‘trending‘ di Twitter dan kami teruja untuk menantikan maklum balas selanjutnya, ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Beliau yang juga Pengurus Besar Red Films memberitahu, pencapaian yang direkodkan pada hari kedua penayangan di 70 pawagam itu agak memberangsangkan.
Filem arahan Bernard Chauly ini menggandingkan Lisa Surihani, Tomok dan Beto Khusyairy.
Penggambaran filem secara keseluruhannya dijalankan di Istanbul, Turki.
Ketika ditanya soal pelakon yang dipilih, Tan menjawab, “Lisa pilihan yang tepat dan sekali gus menyumbang kepada kualiti filem ini."
Tan berkata, penayangan Istanbul Aku Datang mungkin akan berada di pawagam sehingga hujung bulan ini.
“Kalau sambutan bagus, mungkin lagi dua minggu akan ditayangkan di pawagam,” katanya.
Menurut Tan, Red Films hanya mengeluarkan sebuah filem setiap tahun bagi menghasilkan filem yang berkualiti.
Katanya, “sebagai penerbit, saya mesti pilih filem yang bagus kerana kami perlu beri sesuatu kepada penonton yang sanggup membayar untuk tiket wayang.”
Filem hasil kerjasama Grand Brilliance dan Red Films itu mengisahkan Dian (Lisa Surihani) yang bertekad pergi ke Istanbul untuk meyakinkan kekasihnya, Azad, (Tomok) supaya melamar sebelum Dian pulang ke tanah air.
Namun perancangan dan kegembiraan Dian terbantut apabila Azad meminta dia menyewa rumah sendiri. Dian mencekalkan diri dan meminta bantuan seorang lelaki Turki untuk menyewakan sebuah bilik. Malangnya, Dian telah ditipu sehingga memaksanya untuk berkongsi rumah dengan Haris (Beto).
Lalu, berlakulah konflik mengenai perebutan apartmen dan lebih malang, Azad mengetahui bahawa Dian menyewa rumah bersama seorang lelaki.
Filem ini juga menampilkan Aizat Amdan, yang pertama kali muncul di layar perak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: