Curi harta emak
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
AYER KEROH - Hanya kerana penangan dadah, seorang buruh kasar sanggup mencuri barang kemas milik ibunya dalam simpanan kakaknya untuk membeli bekalan.

Akibat tindakannya itu, Asri Agus, 32, kini berhadapan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nor Azizah Yusof di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Tertuduh didakwa mencuri barang emas milik, Normah Mamat, 57, berupa seutas rantai emas, sebentuk cincin dan wang tunai RM170 di sebuah rumah di Jalan Pokok Mangga kira-kira 1 tengahari pada 28 Julai lalu.

Nilai kesemua barangan yang didakwa dicuri tertuduh bernilai kira- kira RM4,790.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, manakala  tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh yang turut memiliki rekod lampau kerana kesalahan dadah serta pernah dipenjarakan, memohon supaya dibenarkan menjalani hukuman di Penjara Sungai Udang bagi memudahkan keluarga melawatnya.

Bagaimanapun, Rosli yang membantah permohonan itu, memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal kerana nyata hukuman penjara sebelum ini tidak menginsafkan tertuduh.

Dalam penghakimannya, Nor Azizah memerintahkan supaya tertuduh dipenjara selama 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan.