Berdepan penjara 20 tahun
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas berdepan tuduhan, semalam.
KOTA BHARU - Angkara RM5 dan sebuah telefon bimbit, seorang remaja berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana dituduh merompak barangan itu, bulan lalu.

Tuduhan terhadap remaja berusia 18 tahun itu dibuat di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Dia yang juga seorang buruh itu didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas pelajar, Mohamad Haziq Mohammed, 17, di cabang tiga, Kampung Surau Bator, Jelawat, Bachok, 20 Oktober lalu.

Ketika rompakan jam 9.45 malam itu, tertuduh didakwa bersenjatakan pisau sebelum melarikan telefon bimbit jenis Sony Ericsson Experia bernilai RM250 dan wang tunai RM5.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof. Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dalam perkembangan sama, dia juga menafikan tuduhan bersama seorang yang masih bebas menjual telefon bimbit berkenaan pada jam 5 petang, keesokan harinya.

Susulan itu, Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Kes bersambung 5 Disember depan.