Thursday, November 15, 2012
Anugerah untuk tahanan juvana
KEPALA BATAS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia dan sekolah juvana di seluruh negara untuk melaksanakan program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM).
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Datuk Jamil Salleh berkata, jalinan kerjasama itu perlu dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan diri dan patriotisme dalam kalangan belia.
“Pada tahun ini, KBS telah menjalankan program ARPRM di Sekolah Henry Gurney, Melaka dan seramai 34 orang pelajar telah berjaya mendapat anugerah tahap gangsa.
“Ini merupakan salah satu strategi pemulihan supaya golongan itu bermotivasi untuk pembangunan diri bagi menghadapi alam dewasa kelak,” katanya.
Jamil ditemui pada majlis pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda peringkat negeri Pulau Pinang 2012 di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin.
Pada majlis itu, seramai 64 pelajar menerima anugerah tahap gangsa manakala 92 lagi menerima anugerah tahap perak.
Jamil memberitahu, program ARPRM yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran telah diperkenalkan sejak tahun 2008 melibatkan 78 buah sekolah seluruh negara.
Katanya, antara kelebihan para pelajar yang menerima anugerah itu ialah mereka akan diberi merit kokurikulum.
“Tahap anugerah itu diberi mengikut tempoh jangka masa sesuatu kursus seperti kepimpinan dan motivasi anjuran KBS yang diikuti pelajar iaitu enam bulan bagi gangsa serta perak manakala setahun dan ke atas bagi emas,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: