|
SEKALI pandang, wajahnya mirip bintang Taiwan, Lee Hom. Jika diperhatikan pada setiap sudut wajahnya, pasti ada yang tidak menduga bahawa anak muda itu sebenarnya mempunyai darah kacukan Melayu.
Aarif Rahman. Itu sebaris nama yang meniti lancar, khususnya di bibir penduduk kota metropolitan Hong Kong. Sejak dia memulakan kariernya pada awal tahun 2009, pelakon merangkap penyanyi itu sewajarnya diberi perhatian.
Fakta yang perlu dikongsi, Aarif mempunyai darah kacukan Melayu-Arab-Cina sebelah bapanya yang telah berkahwin dengan ibunya iaitu seorang warganegara Hong Kong. Aarif, 25, turut dikenali dengan nama komersial Aarif Lee dan nama Mandarinnya, Li Zhi Ting.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu pernah melanjutkan pengajian dalam bidang fizik di Kolej Imperial London selepas menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat rakaman Hong Kong, Amusic.
Sekembalinya dari London, bakat Aarif dalam bidang seni suara kian menyerlah dan hasilnya, album sulung berjudul Everything yang dicipta, disusun dan ditulis sendiri liriknya telah diterbitkan sekitar tahun 2010.
Nasib tidak menyebelahi Aarif apabila dia ditahan polis akibat memandu dalam keadaan mabuk pada penghujung tahun 2011 dan kontraknya bersama syarikat rakaman Amusic ditamatkan serta-merta.
Bakat yang bukan hanya tertumpu dalam bidang nyanyian bagaimanapun, membolehkan Aarif mencuri tumpuan penerbit dan pengarah filem untuk mengambilnya berlakon dalam beberapa naskhah filem seperti Echoes of the Rainbow, Frozen dan filem pecah panggung, Bruce Lee, My Brother.
Andy Lau, Aaron Kwok
Bakat seni lakon yang kian menyerlah menampilkan kredibiliti dan kualiti persembahan Aarif dalam pelbagai naskhah filem akhirnya berjaya merealisasikan impian Aarif berlakon di samping dua bintang gred A Hong Kong, Andy Lau dan Aaron Kwok.
|
|
Menerusi filem yang bakal memasuki pawagam seluruh negara pada 8 November ini, Aarif memegang peranan Billy Cheung iaitu seorang Ketua Penyiasat Suruhanjaya Bebas Anti Korupsi (ICAC) Hong Kong.
Billy perlu memerhatikan pergerakan dua anggota Pesuruhjaya iaitu Sean Lau (Aaron Kwok) dan Waise Lee (Tony Leung) yang bersaing untuk mengetuai operasi menyelamat sebuah van berisi senjata yang telah dirompak. Kedua-duanya pula dalam masa yang sama disyaki menjadi dalang beberapa kes jenayah.
Pertama kali berlakon dalam sebuah filem aksi moden seperti Cold War menuntut Aarif membuat kaji selidiknya sendiri selain banyak bertanya.
“Cold War adalah satu operasi khas berskala besar dan satu peperangan yang unik. Pada masa yang sama, filem ini menggabungkan barisan tenaga elit dari belakang tabir dan juga barisan aktor yang cemerlang. Ia menjadikan Cold War sebuah filem yang begitu luar biasa hebatnya,” ungkapnya dalam sebuah temu ramah bersama media antarabangsa baru-baru ini.
Tambahnya, filem yang telah mendapat perhatian ramai selepas tayangan perdananya pada Busan International Film Festival ke-17 di Korea Selatan itu mempunyai kekuatan bukan dari segi pelakon malah garapan skrip.
“Saya juga mempunyai pendapat yang serupa dengan yang lain dan sejurus tamat membaca skrip, saya boleh rasakan jalan ceritanya yang segar dan betul-betul berkisar tentang kisah polis Hong Kong,” katanya.
Filem arahan bersama Longman Leung dan Sunny Luk itu mengisahkan sebuah operasi pihak berkuasa Hong Kong dalam usaha untuk mendapatkan kembali sebuah van berisi senjata berteknologi tinggi yang dirompak oleh penjenayah.
Operasi yang diberi nama Cold War itu bakal menentukan kenaikan pangkat dua pegawai utama iaitu Sean Lau dan Waise Lee. Tanpa disedari, sebenarnya mereka sedang diperalatkan oleh pihak lain yang ingin mengambil kesempatan atas kelalaian mereka.
Cold War turut diperkuatkan barisan pelakon terdiri daripada Eddie Peng, Lam Ka Tung, Andy On, Terence Yin dan Charlie Young.
Buah hati misteri
Menggali lebih mendalam kisah peribadi kehidupan Aarif di Hong Kong, timbul tanda tanya akan kesahihan hubungan cinta pelakon tinggi lampai itu yang dikatakan terjalin dengan seorang gadis yang sering kelihatan meluangkan masa bersama-samanya.
Banyak kali sebelum ini Aarif menyangkal dakwaan bahawa hatinya sudah dimiliki, sebaliknya menegaskan bahawa dia masih solo.
Andai dilihat daripada corak permainan cintanya, Aarif yang sudah beberapa tahun intim dengan gadis misteri itu memilih untuk menyembunyikan kisah hati dan perasaannya meskipun dia kini sudah menjadi artis terkenal.
|
|
Tercalon untuk mendapatkan gelaran Quality Idol berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam bidang muzik, Aarif semakin pintar mengunci mulutnya daripada berbicara hal peribadinya itu biarpun kepada pihak pengurusannya sendiri.
Memandangkan gadis itu juga sekadar orang biasa, tindakan itu juga dilihat satu langkah untuk mengelak daripada tanggapan menumpang populariti dan kekayaan Aarif.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: