Monday, October 8, 2012

Zikir dan nasyid kontemporari

Judul: Ada Imam di Kalangan Kita
Konsep zikir dan lagu: Kontemporari
Terbitan: Measat Brodcast Network System Sdn. Bhd.
Edaran: Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.
Harga: RM21.90
MEMPERLUASKAN medium dakwah dengan mensasarkan kepada golongan muda, peserta Imam Muda musim ketiga menerusi Astro Oasis mengorak langkah menerbitkan album kompilasi zikir dan lagu kontemporari berkonsepkan ketuhanan.
Album yang berjudul Ada Imam di Kalangan Kita itu memuatkan lima dendangan zikir dan lagu iaitu Zikir Hasbi rabbi, Subhanallah, Astaqfirullah dan lagu Satu serta lagu Allahyarham Datuk Ahmad Jais, Iman dan Takwa dengan diberi nafas baru.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, berdasarkan kejayaan dan sambutan menggalakkan album Imam Muda yang pertama, sekali gus memperluaskan misi menyampaikan dakwah.
"Menerusi kompilasi zikir dan lagu yang terdapat dalam album ini, kami berharap dapat meneruskan usaha membekalkan kepada masyarakat dengan pengisian kerohanian bukan hanya di televisyen malah melalui muzik.
"Album ini juga dicetuskan daripada kejayaan album pertama Imam Muda yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai serta pengiktirafan yang diterima di peringkat Asia," katanya pada masjid pelancarannya, baru-baru ini.
Turut hadir penggubah dan komposer album, Hazry Hafidz (AG Coco) dan peserta Imam Muda Musim ketiga.
Album terbitan Measat Brodcast Network System Sdn. Bhd. edaran Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. itu boleh didapati di pasaran pada harga RM21.90 untuk cakera padat.
Sementara itu, AG Coco berkata, dengan menyelitkan unsur muzik kontemporari, album ini diharap dapat mendekati masyarakat, khususnya orang muda untuk meminati nasyid.
"Kebiasaannya orang ramai terutamanya golongan muda mempunyai pelbagai tanggapan yang berbeza terhadap nasyid, justeru menerusi album ini dapat membetulkan persepsi negatif kerana disampaikan dengan muzik kontemporari.
"Ini juga secara tidak langsung dapat menarik minat masyarakat untuk meminati lagu nasyid, sekali gus mengajak mereka mengingati Allah SWT setiap kali mendengar lagu ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: