Wednesday, October 31, 2012

Walt Disney Beli LucasFilm & Francais Star Wars RM12.3 Juta


Pelakon Hayden Christensen berperanan sebagai Anakin Skywalker dalam Star Wars: Episode II Attack of the Clones.
LOS ANGELES: Dalam satu perjanjian yang di luar jangkaan dan mengejutkan, Walt Disney Co mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk membeli karya-karya George Lucas menerusi firmanya, Lucasfilm Ltd dan juga keseluruhan francais “Star Wars" milik Lucas pada harga AS$4.05 bilion (RM12.3 juta) dalam bentuk tunai dan stok.
Agensi berita Reuters melaporkan pada Rabu, perjanjian mega itu termasuklah persetujuan Disney untuk menerbitkan siri baru Star Wars pada tahun 2015.
Ketua Eksekutif Disney, Bob Iger berkata, pelan baru mereka adalah untuk menerbitkan filem baru Star Wars setiap dua atau tiga tahun.
Filem terakhir dalam siri filem "Star Wars" ialah "Revenge of the Sith" pada tahun 2005.
Selepas itu, Lucas sentiasa menafikan yang beliau mahu meneruskan penerbitan filem “Star Wars” yang baru.
Bagaimanapun di bawah perjanjian baru dengan Disney ini, Lucas akan kekal sebagai konsultan kreatif untuk apa jua filem baru “Star Wars” yang akan diterbitkan nanti.
"Telah tiba masanya untuk saya melepaskan 'Star Wars' kepada generasi baru pembikin filem," kata Lucas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Lucas juga diumumkan sebagai pemegang saham individu kedua terbesar di dalam Walt Disney Co dengan 2.2 peratus pegangan saham.
Disney akan membayar kira-kira separuh daripada harga pembelian Lucasfilm dan francais ‘’Star Wars” dalam bentuk tunai kepada Lucas manakala selebihnya akan ditawarkan dalam bentuk 40 juta syer baru.
"Ini adalah pembelian aset yang terbesar dalam sejarah hiburan Hollywood sama sepertimana kejayaan Disney membeli Marvel Entertainment dan Pixar Studio pada tahun 2009 dan 2006," kata Iger.
Iger menambah, beliau dan Lucas pertama kali berbincang secara serius mengenai pembelian tersebut kira-kira 18 bulan yang lalu setelah Lucas menyatakan hasratnya untuk bersara dari penerbitan filem.
Beliau juga menambah, kekuatan penjenamaan 'Star Wars' menjadi pendorong untuk Disney membeli francais tersebut sepenuhnya dari Lucas.
Iger juga percaya, terdapat tuntutan dan pasaran yang masih besar terhadap siri filem “Star Wars” pada masa depan.
Perkara ini disokong oleh fakta bahawa setiap satu daripada tiga siri terakhir filem berkenaan menjana pendapatan tidak kurang dari AS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) pada kiraan pasaran semasa box office.
Malah karakter-karakter ikonik filem berkenaan mampu menjana pendapatan yang lumayan dalam bentuk barangan mainan dan lain-lain produk konsumer di seluruh dunia.
Misalnya produk barangan mainan dua karakter utama “Star Wars” iaitu Darth Vader dan Yoda sahaja menjana pendapatan sekitar AS$215 juta (RM655.9 juta) setahun di seluruh dunia.
Pada 2005, iaitu tahun siri terakhir filem "Star Wars" ditayangkan, LucasFilm memperoleh AS$550 juta dalam bentuk pendapatan operasi daripada jenama filem tersebut sahaja.
Selain “Star Wars” satu lagi produk utama Lucasfilm adalah siri “Indiana Jones”.
Kini para peminat tertunggu-tunggu apakah akan wujud episod ke-7 dalam saga pengembaraan Luke Skywalker dan nemisisnya Darth Vader yang juga merupakan bapa kandungnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: