|
JOSEPTH NG baru berusia 21 tahun, tetapi dia telah mengarang beberapa cerpen yang dikumpulkan dalam sebuah buku berjudul Death and Other Thing.
Walaupun mempunyai minat yang berbeza dengan kawan-kawan sama generasi, penuntut di Kolej SEGi, Kota Damansara, Selangor itu mempunyai cara tersendiri dalam memasarkan hasil karyanya dengan kenalan lain.
Dia memasarkan bukunya secara dalam talian melalui aplikasi MPHOnline yang dirasmikan di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor bulan lalu.
“Buku dalam talian bukan sahaja boleh didapati dengan mudah dan cepat, malah saya mendapat maklum balas seperti bilangan buku yang dibeli dengan cepat,” kata Josepth.
Selain Josepth, buku hasil tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Doctor in the House turut dipasarkan dalam aplikasi tersebut selain karya selebriti Amber Chia dan Sarimah Ibrahim.
Aplikasi MPHOnline merupakan hasil kerjasama antara pengeluar telefon pintar, Samsung dengan kedai buku, MPH.
Aplikasi percuma itu boleh dimuat turun oleh semua pengguna telefon Samsung atau peranti yang menggunakan sistem operasi Android. Ia boleh didapati dalam Samsung Apps store.
Sebaik dimuat turun, pembaca boleh memuat turun buku elektronik (e-buku) kesukaan dan ia dipindahkan terus ke tempat simpanan peribadi pengguna.
Tajuk-tajuk baharu dikemas kini dalam senarai tajuk buku setiap hari. Genre buku pula meliputi pelbagai jenis seperti romantik, fiksyen, fantasi, perniagaan, kesihatan, pengurusan dan undang-undang.
Kepelbagaian format bahan bacaan itu kelak diharap dapat memberikan ruang yang lebih luas dalam pemilihan bahan bacaan selain membolehkan perkembangan ruang pasaran.
Kini, para pembaca dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia boleh membeli buku Doctor in the House pada harga yang lebih murah kerana tiada caj penghantaran dan dalam masa yang sama boleh didapati serta-merta. Semua harga buku dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).
“E-buku merupakan langkah seterusnya dalam evolusi buku dan penerbitan. Kita semakin mendekati dunia tanpa sempadan kerana internet.
“Ia tidak bermakna MPH akan menjadi digital sepenuhnya, tetapi saling melengkapi kedai buku sedia ada seiring dengan perkembangannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Ng Tieh Chuan.
Selain murah dan cepat, e-buku menjimatkan ruang pada rak buku, malah semua buku elektronik boleh dimuatkan dalam sebuah peranti yang kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: